ADUN terlibat, bukti k’jaan gagal tangani dadah

- Advertisement -

BELUM selesai kes rogol oleh ADUN Perak dibicarakan di mahkamah, timbul pula kes dadah yang membabitkan ADUN Selangor.

- Advertisement -

Empat pegawai khas ahli politik juga merupakan antara 17 individu yang ditahan polis, di mana saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah.

Walaupun dinafikan oleh ADUN tersebut, Pengerusi Bersatu Selangor telah pun mengeluarkan kenyataan mengesahkan penangkapan.

Penglibatan ADUN dan pegawai lantikan politik kerajaan dalam kalangan pemimpin parti ARMADA sendiri menunjukkan kegagalan teruk pihak Kerajaan untuk menjadi pejuang menyelesaikan kemelut penyalahgunaan dadah di negara ini.

Susah untuk rakyat memberikan kepercayaan kepada Menteri apabila budaya ini rupanya sudah menyerap sehingga ke dalam kementerian. Kes ini menyebabkan Kerajaan hilang kredibiliti untuk meneruskan kerja-kerja menyelamatkan belia Malaysia daripada penagihan dadah.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq, ada mengeluarkan kenyataan untuk mempercepatkan usaha dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah memandangkan ramai penagih dari kalangan keluarga miskin sehingga terpaksa mengaku salah dan dipenjarakan.

ADUN ini bukan rakyat yang miskin, malahan mempunyai pengaruh yang kuat sebagai ahli politik.

Dadah sintetik tak mampu dibeli oleh orang miskin apatah lagi hingga menganjurkan pesta persendirian di kondominium mewah.

Adakah jika Kerajaan berjaya meminda undang-undang yang berkaitan, sekiranya disabit kesalahan, beliau dan rakan-rakannya boleh bebas mengulang penagihan dadah kerana tidak lagi direkodkan sebagai penjenayah?

Saya menyeru agar usaha untuk menyahjenayah penagih dadah dihentikan dan beri fokus kepada usaha pencegahan dan penguatkuasaan.

Sekarang, beban atas bahu kerajaan semakin berat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa penglibatan pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan dadah tidak mempengaruhi atau menjejaskan komitmen kerajaan dalam membendung aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia yang semakin parah.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 14/1/2020

- Advertisement -