‘Jangan berasa susah buat kerja Islam’ – YB Sanusi

    - Advertisement -

    TAMBUN: PAS Negeri Perak kini berada dalam kedudukan bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 pada bila-bila masa, bahkan telah menyusun langkah terbaik dalam menjayakan agenda Muafakat Nasional.

    Ta’awun Siyasi ketika ini sudah pasti memberi kelebihan kepada kita, tetapi diingatkan agar tidak pula berasa selesa, kerja-kerja siasah dan usaha yang istiqamah mesti digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan Islam Memimpin.

    - Advertisement -



    “Kita banyak menghabiskan nikmat Allah S.W.T dalam perkara lain, jadi jangan berasa susah atau malas dalam melaksanakan kerja-kerja Islam,” ujar Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

    Beliau berkata demikian pada majlis bersama pimpinan utama Jabatan Pilihan Raya Parlimen (JPrP) dan Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) seterusnya menyempurnakan pelancaran modul ILPAS peringkat negeri Perak.



    Seluruh anggota utama jentera seramai 250 orang ini telah dibentangkan dengan modul terpenting iaitu akidah perjuangan dan bahaya pengaruh idealogi Barat di Markas PAS Kawasan Tambun, Taman Meru, di sini kelmarin.

    Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Perak, Mustafa Abd Wahab memaklumkan, ILPAS sebagai sebuah institusi latihan pilihan raya yang sistematik berperanan menyusun latihan komprehensif secara bermodul dan berterusan.

    Sebelum itu juga, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyampaikan taujihat khusus yang menyeru jentera terus bekerja bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta sentiasalah wala’ dan thiqah kepada arahan pimpinan.

    Katanya lagi, bagi melahirkan amilin berdedikasi, berstrategi, ‘self motivated’ dan berkualiti tinggi, mestilah sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang berterusan khususnya penerapan berkaitan akidah perjuangan.

    Turut hadir berucap dalam majlis tersebut, Pengarah ILPAS Pusat, Rahimin Mustafa dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud dan Pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri. – HARAKAHDAILY 31/12/2019

    - Advertisement -