Nasihat terbaik dari Guan Eng

- Advertisement -

SEJAK jadi Menteri Kewangan Mei 2018 tidak berapa ada nasihat Lim Guan Eng yang berkepentingan nasional untuk kerajaan, negara dan rakyat. Melainkan ia menggamit perkauman, boleh memecahbelahkan perpaduan, menjadikan masyarakat tidak menentu.

- Advertisement -

Sekurang-kurangnya itulah persepsi setengah orang. Persepsi tidak semua betul dan tidak semua pula tidak betul.

Akan tetapi ketika bercakap dalam Konvensyen DAP Pulau Pinang baru-baru ini, dia telah memberikan nasihat yang amat berguna untuk semua. Serunya kepada semua, jangan lagi memfokus atas isu peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Baginya isu itu memang sudah dimaklum benar olehTun Dr. Mahathir dan Guan Eng seolah-olah menyerahkannya kepada Perdana Menteri hendak laksanakan apa yang dikatakan pernah dijanjikan atau hingga tamat tempoh Parlimen yang ada kerana Mahathir dikatakan menyelesaikan dulu semua kerumitan ekonomi yang ada sekarang.

Dari habis masa dan fikiran ditumpukan kepada peralihan kuasa, baik semuanya tumpu/dengar apa rakyat kata dan mahu serta tumpukan kerja, penuhi apa yang rakyat mahu.

Memang betul sejak hampir dua tahun masa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan penyokongnya termasuk kalangan pemuka DAP sendiri banyak masa dihabiskan bila Mahathir hendak tunai janji. Sudahlah janji manifesto PH tidak dapat dipenuhi, janji Mahathir hendak serah kuasa pun bila hendak dipenuhi.

Rakyat minta semua janji manifesto dipenuhi, orang PH khususnya PKR termasuk DAP alih ia kepada bila janji Mahathir serah kuasa hendak dipenuhi?

Nasihat Guan Eng tidak diperlukan sangat oleh kebanyakan rakyat. Ia bukan tuntutan mereka, bahkan mereka muak dengan tuntutan itu. Nasihat itu lebih diperlukan oleh DAP dan PKR khususnya. Hampir kongres PKR yang terbaru itu dipenuhi dengan tekanan Anwar ganti Mahathir.

Keadaan yang ada nampaknya DAP hendak keluar dari tekanan dan belenggu menukar PM. Suasana selepas kongres tidak lagi menjadi peralihan kuasa satu kepentingan nasional lagi. Ia mulai dilihat sebagai kehendak penyokong tegar Anwar sejak dulu. Timbangan ia sebagai isu dan kepentingan nasional mulai ringan.

Dan bila DAP mahu membebaskan diri dari fokus peralihan kuasa, jadilah isu itu kemahuan PKR saja dan orang PKR pun sudah tidak bulat lagi terutama yang memihak kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mungkin satu masa dulu menonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri satu keperluan bagi DAP.

Tetapi dengan layanan yang DAP boleh dapat dari Mahathir sekarang, DAP tidak merasakan apa-apa kerugian sama ada PM bertukar atau tidak.

Sekalipun nasihat Guan Eng lebih ditumpukan kepada PKR, tetapi kepimpinan PH akan reda jika pertukaran kuasa itu tidak diterusnya. PH ada masa untuk mengisi apa yang belum diisi kerana Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah dekat itu memerlukan pimpinan PH tidak bertelagah sama sendiri.

Sempatkan bagi Guan Eng mendengar apa yang rakyat kata tentang kerajaannya dan sempat pula memenuhi kemahuan rakyat itu adalah satu perkara yang perlu PH fikirkan tetapi nasihat Guan Eng itu memang amat berguna. Yang baik mesti dikata baik meskipun ia dirasa pahit oleh PKR. – HARAKAHDAILY 17/12/2019

- Advertisement -