Menolak bisikan maksiat

- Advertisement -

APABILA hati berbisik untuk melakukan maksiat, segeralah beristighfar, berwuduk dan berdoa agar Allah mengukuhkan hati kita dengan iman. Bacalah doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Menurut Saidina Anas bin Malik, doa ini antara yang kerap dibaca oleh Rasulullah S.A.W iaitu:

- Advertisement -



يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, kukuhkan hatiku dalam menuruti agamaMu.”

(HR Tirmizi)



Buat penuntut ilmu, maksiat boleh menghilangkan ilmu yang dipelajari. Kata Saidina Abdullah ibn Mas’ud:



إني لأحسب أن الرجلَ ينسى العلم قد علِمه بالذنب يعمَله

“Aku merasakan bahawa seorang lelaki itu akan lupa tentang ilmu yang pernah dipelajarinya disebabkan oleh dosa yang mereka lakukan.”

(Ibn Abd al-Barr, Jami Bayan al-Ilm)



Malah, al-Imam Abu Hanifah dikatakan akan segera melakukan muhasabah terhadap dirinya sekiranya satu masalah dalam perkara ilmu ditanyakan kepada beliau. Kata beliau:



ما هذا إلا لذنبٍ أحدثتُه

“(Perkara atau masalah ini) tidak datang melainkan dengan dosa yang barangkali aku lakukan.”

(al-Jawahir al-Madhiyyah)



Lihatlah betapa bersegeranya al-Imam Abu Hanifah melakukan muhasabah terhadap dosa dalam memelihara ilmunya.

Atas dasar itu al-Imam Malik berpesan kepada anak murid beliau iaitu al-Imam al-Syafie agar sentiasa menjauhi bisikan dosa. Kata al-Imam Malik:



إن اللهَ ألقى على قلبك نورًا، فلا تُطفئه بظُلمة المعصية

“Sesungguhnya Allah telah menerangi hatimu dengan cahaya, janganlah engkau padam cahaya tersebut (wahai al-Shafie) dengan kegelapan maksiat.”

(Tahzib al-Asma’)



Seandainya hati berbisik untuk melakukan dosa, janganlah dilayan. Segera ulangi istighfar, bertindak dengan mengambil wuduk, dan berdoa agar Allah mengukuhkan hati kita.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 17/12/2019

- Advertisement -