Belanjawan 2020 dan bayangan sistem Kapitalis

- Advertisement -

HASIL negara berputar di kalangan orang kaya

Semalam telah dibentangkan ‘Belanjawan 2020’ kali pertama oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Selama ini kita menyaksikan Bajet yang dibentangkan oleh Barisan Nasional. Saya tidaklah teruja untuk mengulas perinciannya, kerana saya bukanlah economist. Cuma secara zahirnya kita dapat lihat bagaimana pembahagian atau agihan yang tidak seimbang.

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran menceritakan hal agihan harta negara;

مَّاۤ أَفَاۤءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu …”

(al-Hasyr: 7)

Di zaman Nabi S.A.W, Baginda S.A.W sebagai pimpinan negara membuat agihan harta kekayaan negara kepada rakyat, dengan objektif كي لا يكون دولة بين الأغنياء منكم iaitu harta negara tidak berputar hanya pada orang-orang korporat sahaja. Kerajaan PH yang mengumumkan Bajet, perlu dilihat dari segi kejujuran dan integriti. Kalau dilihat rekod-rekod PH sebelum ini, mereka masih meneruskan sistem Kapitalism.

Tidak dinafikan di dalam Islam memang ada perbahasan mengenai al fai’ dan ghanimah, tapi umum ayat ini menceritakan mengenai ‘hasil negara’ dan agihan agihannya. Walaupun sebahagian ulamak ada yang menyatakan ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat 41 Surah al-Anfal, namun konsep maqasid supaya harta negara tidak berputar hanya pada golongan kaya masih kekal.

Ketidak-seimbangan agihan hasil negara

Sepertimana yang disebutkan sebelum ini di dalam artikel yang lain [1], menyatakan bahawa konsep mengkayakan orang kaya dan orang miskin terus miskin merupakan budaya Kapitalism. Justeru, walau bagaimanapun agihannya, selagimana Kapitalism itu masih diamalkan, masalah tidak akan selesai. Masalah yang utama bukan pada siapa yang memerintah, tapi pada pengekalan sistem yang menindas rakyat.

Antara yang dapat kita lihat ialah agihan yang tidak seimbang dalam Bajet 2020. Ketidakseimbangan ini bukan bermaksud ‘tidak sama rata’ tetapi agihannya tidak adil. Contohnya Program Keusahawanan Bumiputera RM50 juta, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India RM20 juta, dan Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina RM100 juta.

Secara kasarnya, agihan seperti ini sengaja meletakkan ‘sempadan’ antara bangsa sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini [2]. Agihan mengikut bangsa hakikatnya akan mewujudkan ketidakseimbangan dan menguntungkan sebahagian pihak. Orang-orang berbangsa China yang miskin akan terbela, manakala Bajet untuk bangsa Melayu ‘boleh’ dibolot oleh puak-puak tertentu yang berkepentingan.

Seperti DAP mensasarkan golongan miskin dari kalangan China mungkin untuk menarik pengaruh undi golongan bawahan mereka setelah mana mereka juga ditindas oleh golongan korporat di kalangan mereka. Ini sebagai satu contoh bagaimana agihan ‘hasil negara’ apabila diuruskan oleh orang yang berkepentingan sambil mengekalkan konsep Kapitalism.

Golongan Bumiputera yang tertindas

Selain daripada ‘mengkayakan orang kaya dan orang miskin terus miskin’, konsep meraih untung cara kapitalis juga dilihat dalam pembentangan tersebut. Iaitu konsep meletakkan modal duit untuk meraih pengaruh. Ia lebih dikenali sebagai projek gula-gula. Apabila pengaruh diperolehi, mereka akan terus berkuasa untuk merembat hasil negara dengan lebih banyak dan berpanjangan. Boleh rujuk Surah Zukhruf 51-54.

Kelihatan mereka mensasarkan golongan tertentu untuk meraih pengaruh, manakala golongan yang liat untuk dipengaruhi akan dikikis peruntukan mereka. Saya tidak pasti ada tak fungsi menteri menteri ‘Bumiputera’ dalam menyusun Bajet 2020? Bumiputera golongan bawahan dilihat sebagai golongan yang agak liat untuk mengundi mereka. Justeru, peruntukan pertanian yang menjadi sumber Bumiputera perlu jadi sasaran untuk dirembat.

Peruntukan Industri Padi dan Beras dipotong RM3.1 juta, peruntukan Pertanian dipotong RM14.1 juta. Peruntukan Lembaga Getah Malaysia sebelum ini RM10 juta, dipotong sepenuhnya. Peruntukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dipotong RM3 juta. Peruntukan Industri Agromakanan dan Keusahawanan Tani dipotong RM18 juta.

Peruntukan FAMA dipotong RM11 juta, LPNM (Nenas) dipotong RM400k, Lembaga Koko Malaysia dipotong RM2 juta, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dipotong RM26 juta, peruntukan Latihan Kemahiran Pertanian dipotong RM6.9 juta, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dipotong RM8 juta dan peruntukan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dipotong RM3 juta.

Sepertimana yang dinyatakan, ekonomi Bumiputera yang majoritinya bergantung kepada pertanian, dikikis sekikisnya. Mereka sudah ‘baca’ bahawa golongan Bumiputera antara yang tidak memberi keuntungan politik buat mereka. Justeru, dengan pengaruh kapitalis, mereka melihat perlu kurangkan kos ‘pelaburan’ untuk sesuatu yang tidak menguntungkan politik mereka.

Peluang monopoli dengan menindas petani

Apakah kesan apabila para petani dikurangkan peruntukan? Menyebabkan orang kaya akan terus kaya dan petani di kampung akan terus miskin. Apabila sumber daripada petani menyusut, kerajaan kapitalis berpontensi untuk buat duit, seperti import beras daripada luar kemudian memonopolinya, dan beberapa lagi peluang-peluang untuk mengkayakan beberapa individu.

Saya bagi satu contoh, kerajaan kapitalis meletakkan ketetapan sesiapa yang nak mengimport gula dari luar, perlu ada lesen AP. Jadi, lesen AP diberikan kepada beberapa orang sahaja, membuatkan gula dimonopoli. Apabila berlakunya monopoli, maka ahli korporat yang memiliki lesen AP akan terus kaya-raya manakala rakyat marhaen terpaksa membeli kerana satu keperluan.

Apa kesan jangka masa panjang? Duit negara banyak disalurkan ke luar negara, iaitu negara pengimport bahan keperluan tersebut. Menyebabkan Malaysia menuju ke ambang penindasan yang dahsyat. Apa nak dihairan, monopoli beras sudah lama beroperasi di Malaysia dan telah pun mengkayakan beberapa individu. Pada Julai 2019, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani umumkan cadangan kerjasama dengan China.

September 2019, timbul pula isu benih padi,  yang dilihat seolah-olah membuka ruang kepada monopoli benih padi oleh syarikat-syarikat tertentu. Walaupun sebelum ini lagi sudah ada ruang monopoli ini, namun sesi Kerajaan PH dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menukar syarikat-syarikat pembekalan benih daripada ‘orang lama’ kepada ‘orang baru’. Seiringan dengan tukarnya Kerajaan BN kepada PH, jadi logiknya kroni juga perlu ditukar.

Harga lantai hartanah menguntungkan pemaju dan warga asing

Sebelum ini saya ada mengulas mengenai ‘cadangan’ kerajaan menurunkan harga lantai bagi warga asing untuk memiliki rumah di Malaysia [3]. Hari ini ia sudah menjadi realiti. Kalau dahulu harga lantai yang diletakkan ialah RM1 juta, tetapi kini telah turun ke RM600k. Realiti ini lebih nampak ke’kapitalis’an mereka untuk mengkayakan pemaju, dan membuka ruang kepada warga asing untuk duduk di Malaysia.

Secara mudahnya, sistem aliran bagaimana kos tanah dan hartanah semakin melambung bermula daripada sistem demokrasi yang membuka ruang kepada penjahat untuk naik sebagai pemerintah. Antara punca harga melambung ialah campur tangan ahli politik itu dalam meluluskan tanah [4]. Apabila pemohon itu bukan dari kalangan kroninya, sudah pasti permohonan akan dipayahkan.

Secara tidak langsung ia menyebabkan الحمى iaitu penguasaan terhadap tanah. Pemaju-pemaju yang kroni kerajaan akan diberi tanah seluas yang dimohon untuk dimajukan. Ini menyebabkan harga tanah melambung, dan akhirnya melepasi tahap kemampuan rakyat Malaysia. Apabila rakyat Malaysia tidak mampu beli, rumah-rumah mewah itu akan kekal terbengkalai.

Untuk mengelakkan terbengkalai, rumah-rumah ini dijual kepada warga asing dengan harga lantai RM1 juta. Namun, untuk menambahkan laris lagi rumah dibeli warga asing, maka harga lantai diturunkan kepada RM600k. Apa nasib rakyat Malaysia? Orang bujang terpaksa menyewa bilik sempit untuk hidup manakala mereka yang berkeluarga hanya mampu membeli rumah pangsa yang berkongsi parking.

Menukar kerajaan tetapi mengekalkan sistem zalim

Justeru, sepertimana yang saya tulis sebelum ini bahawa perkara yang paling penting ialah mengubah sistem. Rakyat Malaysia yang tertipu dengan Manifesto PH mengambil pendekatan ‘mengubah orang’ semata-mata. Akhirnya mereka yang baru naik sebagai kerajaan, meneruskan sistem lama. Rakyat akan terus tertindas. Cuma hanya menukar penindas sahaja.

Contohnya, sistem kapitalis mula diwujudkan oleh British di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan [5]. Kemudian muncul BN meneruskan sistem penjajah, dan memerintah puluhan tahun. Rakyat yang merasa tertindas, mula bangkit kononnya nak jatuhkan kezaliman. Tetapi mereka turunkan BN, menaikkan PH yang meneruskan sistem tersebut.

Jadi, apa gunanya bersusah payah bersorak hapus tol, hapus GST, mansuh PTPTN dan slogan-slogan yang lain? Mereka yang mengepalai sorakan tersebut, berbaring di jalanan untuk turunkan pemerintah zalim, akhirnya apabila mereka naik sebagai pemerintah, mereka pula yang menyambung legasi kezaliman tersebut. Kelakar bukan? Berbaloikah?

Andai pemerintah baru mengubah sistem zalim yang lama, kepada sistem zalim yang baru, sama juga rakyat terus ditindas. Sebab itulah kita perlu mengubah sistem zalim kepada sistem Islam. Selagimana sistem Islam tidak dilaksanakan, selagi itulah kezaliman akan berterusan sekalipun bertukar-tukar pemerintah:

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ یَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمࣰا لِّقَوۡمࣲ یُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal bagi mereka yang yakin, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(al-Maidah: 50)

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1201475513379253/

- Advertisement -



[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1203219873204817/



[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1190551867804951&id=251201991739948



[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1199421013584703&id=251201991739948



[5] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1203219873204817/HARAKAHDAILY 12/10/2019

- Advertisement -