Bajet 2020: Ubat penenang atau racun berbisa?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 memberi gambaran jelas bahawa Wawasan 2020 yang pernah diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berjaya sebagaimana diimpikan oleh beliau dan seluruh rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, dengan segala dibentang itu ternyata Malaysia masih terkial-kial untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun hadapan.

Antara isu ulasnya, apabila subsidi minyak bersasar yang diperkenalkan memberi impak kewangan cukup besar kepada golongan B40 sehingga M40 menjadikan ianya racun sangat berbisa akan mula dirasakan seawal 2020 nanti.

Selain itu menurut beliau, beberapa cukai baharu akan diperkenalkan juga bakal menjerut leher rakyat yang telah sedia sengsara selama ini. 

“Perbandingan kadar inflasi yang tidak tepat. Benar, penghapusan GST mengurangkan tekanan harga namun data kadar inflasi selepas SST tidak ditunjukkan. 

“Golongan penoreh getah dan pekebun kelapa sawit masih tidak dijanjikan sesuatu yang baik untuk meningkatkan pendapatan mereka. 

“Hanya terselit sedikit penerusan Bantuan Musim Tengkujuh. Ternyata tiada usaha yang dikhususkan untuk menstabilkan harga komoditi getah dan sawit. Mimpi buruk terus memayungi golongan tersebut,” katanya.

Jelasnya, kerajaan dilihat tanpa segan silu mengaku bahawa hutang negara meningkat dengan begitu mendadak, walhal pada masa yang sama ekonomi tidak meningkat. 

Lebih diburukkan lagi katanya, apabila berbangkit laporan mengenai penjualan aset-aset negara dengan begitu rakus oleh kerajaan.

Menurutnya, Kelantan masih kekal sebagai anak tiri yang dilupakan walaupun hasil petroleumnya dijarah dengan penuh lunak. 

“Lebih memedihkan, hasil royalti Kelantan yang masih tidak dibayar walau satu sen sehingga hari ini. Janji kekal dikhianati.

“Nampaknya beberapa durian runtuh jatuh kepada negeri lain terutamanya negeri-negeri yang sedia maju. Kelantan kekal tandus,” ujarnya.

Dalam masa sama, Abdul Latiff berkata pengumuman cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari seakan diceduk daripada kerajaan negeri Kelantan yang telah hampir sepuluh tahun melaksanakannya. – HARAKAHDAILY 12/10/2019

- Advertisement -