MIC Sungai Siput sokong Muafakat Nasional

- Advertisement -

SUNGAI SIPUT: Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Kawasan Sungai Siput telah mengadakan Majlis Hi-Tea Penyatuan Ummah di Markaz Tarbiyah PAS Sungai Siput, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Sungai Siput, Nor Aziah Samat berkata, majlis ini dijayakan bagi memberi penerangan kepada Muslimat PAS, Wanita Umno dan wakil MIC mengenai kepentingan Penyatuan Ummah.

Tetamu jemputan, Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Ab Samad turut hadir bagi mengisi slot majlis Hi-Tea Penyatuan Ummah ini.

Ustazah Hasna’ di dalam ucapannya berkata, bagi mencapai kejayaan Penyatuan Ummah, PAS  dan Umno hendaklah menjauhi golongan yang berfikiran negatif dengan Muafakat Nasional ini.

“Sebagai penggerak parti, kita hendaklah meyakini bahawa pertolongan Allah akan hadir bagi hamba-hamba yang membantu agama-Nya. Oleh itu, teruslah bergerak aktif sebagai ansarullah.

“Kita hendaklah berkerja kerana Allah kerana siapalah kita di akhirat esok jika tanpa Allah. Jangan kita muflis dari dunia hingga ke akhirat,” ujarnya dalam memberi taujihat kepada seluruh hadirin yang hadir.

Timbalan Ketua Wanita MIC Bahagian Sungai Siput, Rathika Egambaram di dalam sesi dialog menyatakan syukur kerana dapat bersama sama di dalam majlis Hi-Tea Penyatuan Ummah ini.

“Untuk pemilihan di dalam pilihan raya akan datang, MIC pastinya akan memberi sokongan penuh kepada Muafakat Nasional dan akan memastikan kemenangan untuk Penyatuan Ummah ini,” ujarnya.

Majlis ini juga disertai dengan kehadiran Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Perak, Norhanim Mohd Zain dan Ketua Muslimat PAS Sungai Siput, Mastura Mohd Radzi serta Ketua Wanita Umno Sungai Siput, Datuk Zaitun Abd Rahman. – HARAKAHDAILY 12/10/2019

- Advertisement -