Belanjawan 2020: Apa manfaat untuk keluarga?

- Advertisement -

MUSLIMAT PAS menyambut baik cadangan yang dikemukakan melalui Belanjawan 2020, namun Kerajaan dilihat belum mempunyai pendirian yang jelas tentang pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat secara komprehensif. Apabila perancangan pembangunan keluarga ibarat labah-labah membina sarangnya, bila disentuh sedikit, bila-bila masa boleh rosak sarang tersebut, malah labah-labah lain belum tentu boleh selamat.

- Advertisement -

Pertama, Muslimat PAS berbesar hati dengan keterbukaan Kerajaan untuk menambah tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari yang akan bermula pada tahun 2021. Dalam hal ini, Muslimat memuji tindakan Kerajaan PAS Kelantan yang telah lama melaksanakan dan menambah baik aspek ini dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, Muslimat melihat kurangnya insentif kepada para wanita yang bekerja, termasuk mereka yang di dalam kategori jawatan bukan profesional. Apakah insentif Kerajaan untuk memastikan tempat kerja adalah mesra keluarga termasuk waktu kerja yang anjal bagi memastikan keseimbangan peranan wanita dalam keluarga dan kerjaya?

Kedua, bagaimana pula kesaksamaan gaji dan peluang untuk lebih ramai graduan wanita diterima bekerja di sektor swasta dan kerajaan tanpa wujud diskriminasi? Muslimat PAS mengharapkan cadangan Kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kerja 1955 benar-benar mengkaji aspek diskriminasi tersebut dengan teliti dan mencadangkan pindaan yang adil buat semua wanita. Adakah pula terdapat cadangan atau usaha untuk mewujudkan pusat latihan pengurus rumah tangga yang bertauliah bagi rakyat tempatan bagi menangani masalah pembantu rumah asing? Selain peruntukan tambahan bagi pembinaan Taska di hospital dan sekolah serta pelepasan cukai dalam menyediakan Taska, adakah Kerajaan bercadang untuk memberi pelepasan cukai juga kepada pengambilan pembantu rumah?

Ketiga, dari aspek kesihatan, adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk memperluaskan skim perlindungan kesihatan kepada golongan M40 yang juga memerlukan perlindungan kesihatan, terutama yang jumlah pendapatan dan tanggungannya boleh menyebabkannya termasuk ke dalam golongan B40 akibat kos sara hidup yang tinggi? Apakah pula usaha Kerajaan memperhebatkan lagi usaha menangani masalah kesihatan mental yang meningkat di kalangan B40 dan M40, dan kepada seluruh peringkat umur bermula daripada pelajar sekolah?

Seterusnya, keempat, Muslimat PAS juga mempunyai harapan tinggi agar peruntukan yang banyak diberikan kepada Kementerian Pendidikan dapat benar-benar digunakan untuk memperkasakan peranan guru dan sistem di sekolah.  Dahulu, negara pernah dikejutkan dengan senarai 402 sekolah yang dikategorikan bermasalah pada tahun 2017, apakah status sekolah itu hari ini?  Apakah program-program yang akan diwujudkan menggunakan peruntukan tersebut untuk mengatasi masalah remaja keciciran di luar bandar? Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran di sekolah bantuan kerajaan mahupun swasta, sejauh manakah Kerajaan berhasrat menambahbaik kaedah pengesanan masalah dan pelaksanaan serta keberkesanan program-program intervensi bagi kanak-kanak istimewa,terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar?

Kelima, berkenaan infrastruktur digital, di sebalik keghairahan kepesatan pembangunannya, Muslimat PAS ingin tahu apakah usaha-usaha Kerajaan dalam memastikan kandungan yang positif sahaja yang sampai kepada pengguna digital, khususnya kepada golongan muda? Adakah di dalam perancangan Kerajaan untuk mempertingkatkan usaha menapis laman-laman web, browser dan portal yang dikategorikan sebagai tidak sopan, lucah dan tidak membangun akal dan jiwa rakyat Malaysia? Dari segi ’value for money’ pula, sejauh manakah pemantauan akan dilakukan bagi memastikan peruntukan fasiliti digital yang diberi kepada sekolah tidak disalahgunakan atau kurang dimanfaatkan sebagaimana yang sepatutnya?

Keenam, dengan meningkatnya kes-kes yang di bawa ke Mahkamah Syariah, berapakah peruntukan yang akan diwujudkan ke arah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil? Seiring pembangunan Mahkamah Syariah, apakah status pelaksanaan dan peruntukan dalam melaksanakan Akta Guaman Syarie yang baru sahaja diluluskan? Dari aspek kecekapan sistem maklumat bagi perkara-perkara di bawah tanggungjawab institusi agama, sejauh manakah kecekapan pelaksanaan sistem terkini dalam mendepani arus perdana yang sangat pantas, contohnya untuk mengenalpasti status perkahwinan bakal suami atau isteri sebelum majlis akad?

Ketujuh, Muslimat PAS komited dengan dasar memperkasa warga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mana setiap seorang daripada 6 orang penduduk adalah OKU. Dalam hal ini, Muslimat PAS berterima kasih kepada Kerajaan kerana memperuntukkan RM23 juta bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra OKU. Walau bagaimanapun, diharapkan pelaksanaannya dilakukan mengikut keutamaan dan secara berfasa sehinggalah semua sekolah dapat dinaiktaraf kemudahannya. Selain keperluan berbentuk fizikal, apakah perancangan kerajaan untuk mengurangkan diskriminasi terhadap akses pendidikan agama dan kerohanian kepada golongan OKU, dan mengarusperdanakannya agar golongan OKU lebih menyeluruh pembangunan insaniah dan kehidupannya?

Konsep Wanita Sejahtera yang dibawa oleh Muslimat PAS merangkumi tiga perkara iaitu; kedalaman ilmu pengetahuan, minda bermuhasabah dan aktif bermasyarakat. Tanggungjawab hakiki suami sebagai ketua keluarga dan penjaga yang menyediakan nafkah mesti dibangunkan dengan lebih hebat lagi, seiring tanggungjawab isteri di dalam memberikan layanan kepada suami dan anak-anak. Berkaitan ini misalnya, Kerajaan Negeri Kelantan sedang merangka Dasar Qawwam demi memperkasakan tugas hakiki seorang lelaki. 

Oleh yang demikian, ke arah mengembalikan semula masyarakat mengikut acuan kesejahteraan paling tinggi melalui Islam, Muslimat PAS termasuk Kerajaan Negeri PAS di Kelantan dan Terengganu sudi bertemu mata dan saling bertukar input dan cadangan dalam memenuhi objektif pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat kepada Kerajaan.

Muslimat PAS sangat prihatin dengan harapan agar institusi keluarga ini dapat segera dibantu dan diselamatkan daripada terus runtuh dan akhirnya menghilangkan identiti sebuah masyarakat majmuk tanah air yang pernah utuh sejarah dan ketamadunannya.  

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 14/10/2019

- Advertisement -