
LABUAN: PAS Kawasan Labuan bersetuju mengetuai Perikatan Nasional (PN) di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, selain akan mengemukakan calon bagi mewakili PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan, Hamir Zahari berkata, keputusan penting itu dicapai hasil persetujuan perwakilan yang meluluskan secara sebulat suara usul tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Labuan.
Dalam makluman beliau kepada Harakahdaily, MAT PAS Labuan Kali Ke-28 pada 19 Julai baru-baru ini yang meluluskan usul penting tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Beliau menjelaskan bahawa usul berkenaan dibawakan oleh perwakilan dari Cawangan Gersik, Cawangan Tanjung Aru, Dewan Ulamak PAS Kawasan Labuan, serta Dewan Pemuda PAS Kawasan Labuan dengan melalui sesi perbahasan konstruktif.
PRU15 menyaksikan kerusi Parlimen Labuan dimenangi oleh calon PN daripada BERSATU, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, namun kemudian bertindak mengisytiharkan sokongan terbuka kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri.
Perkembangan tersebut menguatkan desakan serta persediaan jentera parti komponen PN di peringkat akar umbi, khususnya PAS, untuk mengambil alih kepimpinan struktur gabungan itu serta menampilkan calon berintegriti pada PRU16.
“Perwakilan berpandangan bahawa usul ini bertepatan dengan perkembangan politik semasa, selaras dengan peningkatan sokongan masyarakat terhadap Perikatan Nasional di peringkat nasional serta penerimaan yang semakin baik terhadap PAS di Labuan.
“Justeru, kepimpinan PAS dilihat mampu memperkukuh lagi kedudukan PN di Wilayah Persekutuan, khususnya di Labuan,” katanya dalam satu kenyataan sebelum dihubungi Harakahdaily.
Mengulas mengenai persediaan pilihan raya, Hamir menegaskan bahawa PAS Labuan bersedia mempertaruhkan calon parti itu bagi mewakili PN berasaskan kredibiliti kepimpinan yang berintegriti.
“Calon PAS wajar diketengahkan bagi mewakili PN pada PRU16 berdasarkan rekod kepimpinan yang berintegriti, bersih serta bebas daripada sebarang rekod jenayah dan rasuah,” jelas beliau.
Hamir menambah, sokongan dan penerimaan masyarakat tempatan terhadap PAS Labuan menunjukkan trend semakin positif menerusi penganjuran pelbagai program kebajikan serta khidmat masyarakat yang berterusan.
“Penubuhan Khidmat Masyarakat Labuan telah menjadi platform penting dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu rakyat, sama ada melalui tindakan langsung PAS ataupun dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan.
“PAS Labuan yakin bahawa hasrat untuk meletakkan calon pada PRU16 merupakan satu langkah tepat dalam memperjuangkan kepentingan serta membela masa depan rakyat Labuan, di samping memperkukuhkan peranan PAS dalam landskap politik Wilayah Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










