
KEJAYAAN PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin (1 Ogos 2026) telah menarik perhatian banyak pihak, terutama ekoran kejayaan PAS mengatur strategi sehingga membolehkan gabungan politik Melayu PN-BN menguasai semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH). Ramai orang bertanya mengenai riwayat dan pergerakan PAS di Negeri Sembilan, yang selama ini tidak dirasai kemunculannya.
Saya sendiri sejak dahulu menganggap kemunculan PAS di Negeri Sembilan adalah seperti membina rumah di tanah berselut. Ia bukan sahaja tidak kuat dan tidak stabil, bahkan memerlukan masa yang sangat lama untuk mengukuhkan tapak (foundation) bangunannya. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesungguhan pimpinan PAS, beserta dengan pertolongan, izin dan kasihan belas Allah, akhirnya perjuangan PAS di Negeri Sembilan mula menampakkan sinar.
Saya akan mencoretkan sedikit sebanyak sejarah PAS Negeri Sembilan dalam kolum yang tidak tetap ini, mudah-mudahan dapat menjadi rujukan semua.
Idea awal penubuhan PAS datang dari Negeri Sembilan
Proses nyata penubuhan PAS boleh dikatakan bermula dengan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Kelab Melayu Muar, Bandar Maharani pada 21-22 Februari 1950. Dalam persidangan ini, lapan usul telah diluluskan, termasuk satu usul dari Negeri Sembilan yang berkait secara langsung dengan penubuhan PAS.
Usul-usul tersebut ialah:
i. Mengadakan majlis perhubungan ketua-ketua jabatan dan majlis agama untuk menyelaraskan pentadbiran agama di Malaya;
ii. Mewujudkan Kolej Islam Malaya;
iii. Mengurangkan cukai haji dan menyediakan layanan baik kepada jemaah haji;
iv. Menyatukan tarikh permulaan puasa dan Hari Raya seluruh Malaya;
v. Menubuhkan majlis agama di Pulau Pinang dan Melaka;
vi. Menubuhkan derma pelajaran (biasiswa) pengajian tinggi Islam luar negara;
vii. Mewujudkan sekolah agama petang di semua Sekolah Melayu; dan
viii. Mewujudkan satu kerjasama dengan Jamiah Dakwah Islamiyah bagi menyiarkan seruan agama seluas-luasnya.
Usul yang ke-viii ini asalnya telah dikemukakan oleh Umno Bahagian Rembau yang mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pendakyah untuk menyampaikan seruan Islam kepada Orang Asli. Usul ini kemudiannya dipinda oleh Wakil Umno Bahagian Kuala Terengganu, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan supaya seruan dakwah tidak hanya terfokus kepada Orang Asli sahaja, tetapi kepada semua rakyat Malaya atau Tanah Melayu.
Usul ini bermaksud supaya ulama menubuhkan sebuah organisasi yang berperanan dalam gerakan dakwah Islam di Malaya seperti mana Jamiah Dakwah Islamiyah di Singapura, dan mahu satu kerjasama di antara badan dakwah di Malaya dan di Singapura diwujudkan. Usul ini sebenarnya telah dikemukakan oleh Haji Othman Taat (wartawan merekodkan nama beliau sebagai Othman Talib, kerana kesilapan ejaan) dari Rembau yang mewakili Umno Bahagian Rembau.
Gagasan usul yang diketengahkan oleh perwakilan dari Rembau ini telah menjadi asas kepada pertimbangan para ulama untuk mewujudkan sebuah badan ulamak bagi meluaskan gerakan dakwah Islam kemudiannya. Pada 23 Ogos 1951, Persidangan Alim Ulamak Malaya di Kuala Lumpur yang mengkaji resolusi-resolusi persidangan di Muar telah bersetuju untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya, yang kemudiannya dinamakan sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951.
MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 3/8/2026












