Pertahan DUN Karambunai, perkasa kepimpinan wanita

- Advertisement -

KUNAK: Muslimat PAS Negeri Sabah diseru mempertahankan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai yang dimenangi PAS menerusi Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri yang lalu sebagai simbol kekuatan kepimpinan Islam yang berteraskan hikmah, keadilan dan khidmat kepada rakyat.

- Advertisement -

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Putatan, Al Mujida Ali Musa berkata, usaha mempertahankan kemenangan di DUN Karambunai amat penting bagi menjamin kesinambungan kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama memerlukan pendekatan Islam yang adil, inklusif dan membawa rahmat kepada semua tanpa mengira latar belakang.

“Mempertahankan kerusi ini bukan sekadar mengekalkan kemenangan, malah menjadi simbol kekuatan Islam yang mampu memimpin dengan hikmah dalam sebuah masyarakat majmuk,” katanya yang membahaskan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Kali Ke-36, di Dewan Arena Belia Kunak, di sini semalam.

Muktamar itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan turut dihadiri Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Noraini Hussin.

Sementara itu, perwakilan DMPK Kota Belud, Nur Farah Alyaa Matnin menegaskan bahawa wanita perlu diperkasakan sebagai pemimpin yang memiliki keperibadian unggul, berintegriti, bijaksana serta berani memimpin masyarakat.

Menurutnya, usaha melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa memerlukan sokongan dasar yang mampu mewujudkan keseimbangan antara tanggungjawab kerjaya dan institusi keluarga, di samping membudayakan sikap saling menghormati dalam masyarakat.

“Kita perlu terus memperkukuh peranan wanita dalam dakwah dan pembangunan masyarakat agar mereka mampu menjadi agen perubahan yang memberi manfaat kepada ummah,” ujarnya.

Nur Farah turut menyeru agar muktamar kali ini dijadikan titik tolak untuk memperkasa kepimpinan muslimat, meningkatkan kualiti gerak kerja serta memperluaskan khidmat kepada masyarakat demi memperkukuh perjuangan Islam di Sabah. – HARAKAHDAILY 2/8/2026

- Advertisement -