
KUNAK: Perjuangan membela rakyat hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan berasaskan fakta, kata perwakilan daripada Dewan Muslimat PAS Kalabakam, Rahmatiya Muin.
Beliau turut menyatakan sokongan dalam usaha memperkukuh tarbiah serta menegaskan wanita berkarisma perlu memimpin dengan ilmu, hikmah, integriti dan kasih sayang kepada masyarakat.
“Perjuangan membela rakyat hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan berasaskan fakta, dengan cadangan penyelesaian yang boleh dilaksanakan serta mengutamakan keadilan, ihsan dan amanah demi kepentingan rakyat serta negara,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke-36 di Dewan Arena Belia, dekat sini semalam.
Muktamar itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan turut dihadiri Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Noraini Hussin.
Rahmatiya turut mengemukakan cadangan berkaitan kebajikan penjawat awam termasuk semakan gaji, elaun, sokongan kesihatan mental, latihan berterusan, peluang kenaikan pangkat serta dasar mesra keluarga khususnya untuk wanita dan keluarga.
Menurutnya, wanita mempunyai peranan besar dalam memimpin perubahan kerana sifat penyayang, teliti, sabar dan berprinsip, namun kepimpinan perlu berteraskan nilai Islam dalam setiap keputusan dan tindakan organisasi serta masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap tema “Wanita Berkarisma Memimpin Perubahan” dapat diterjemahkan melalui tindakan nyata, ukhuwah yang kukuh, khidmat kepada masyarakat serta keberanian memperjuangkan kebajikan rakyat demi negeri dan negara bersama secara berterusan.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS negeri diseru memperkukuh tarbiah, usrah dan marhalah bagi melahirkan wanita berkarisma yang berilmu, berakhlak, berprinsip serta mampu memimpin perubahan masyarakat secara berterusan dan berkesan.
“Perkara ini penting bagi pembinaan ahli secara tersusun, berterusan dan berpandukan nilai Islam serta matlamat perjuangan yang jelas,” kata perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau, Armawaty Amirullah.
Menurutnya, setiap PAS cawangan perlu memastikan usrah dilaksanakan secara tetap, terancang dan berterusan, bukan hanya aktif ketika pilihan raya kemudian sunyi daripada kegiatan tarbiah dan pembinaan ahli secara menyeluruh.
“Pengukuhan usrah memerlukan naqibah terlatih, jadual tetap, bahan pengisian tersusun serta rekod kehadiran dan perkembangan ahli bagi memastikan proses pembentukan ahli berjalan berkesan serta menyeluruh pada setiap peringkat organisasi.
“Marhalah usrah perlu diperkasakan mengikut tahap kefahaman, pengalaman dan kemampuan ahli, bermula daripada asas Islam, pembentukan Peribadi Muslim hingga kemahiran kepimpinan dalam masyarakat dan organisasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2026










