
SEREMBAN: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS) menerima pujian atas inisiatif menyediakan perkhidmatan ambulans percuma bagi membantu pesakit, warga emas dan individu uzur menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian.
Ketua Unit Ambulans YAMCS, Mohammad Yusof Moksin berkata, beliau terharu apabila menerima penghargaan daripada seorang pegawai yang bertugas di sebuah pusat pengundian.
Menurutnya, pegawai berkenaan memaklumkan bahawa sepanjang bertugas mengendalikan pilihan raya, ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perkhidmatan ambulans secara percuma khusus untuk membawa pengundi yang uzur dan sakit ke pusat pengundian.
“Pegawai tersebut telah lama bertugas di pusat pengundian, namun ini kali pertama beliau melihat ada NGO menyediakan perkhidmatan ambulans percuma untuk pengundi yang sakit,” katanya.
Mohammad Yusof yang juga Ahli Jawatankuasa YAMCS berkata, beliau bersyukur apabila usaha yang dilaksanakan mendapat penghargaan daripada masyarakat.
Menurutnya, matlamat utama inisiatif itu adalah memastikan pesakit dan individu uzur tidak terhalang daripada menunaikan hak mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini.
“Perkhidmatan ambulans percuma ini disediakan pada hari mengundi khusus untuk golongan yang memerlukan. Kami mahu mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat tanpa dibebani masalah pengangkutan,” katanya.
Beliau bersama Ketua Amal Doktor YAMCS, Azraee Harun, telah membawa empat pesakit ke pusat pengundian setakat pagi pengundian hari ini.
Sementara itu, Azraee berkata, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor komited meneruskan penyediaan perkhidmatan ambulans percuma bagi membantu pengundi uzur menunaikan tanggungjawab mereka setiap kali pilihan raya diadakan.
Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi memudahkan warga emas, pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) serta individu yang mengalami masalah kesihatan hadir ke pusat pengundian dengan selamat dan selesa.
Katanya, perkhidmatan tersebut disediakan sepanjang hari pengundian bagi memastikan tiada pengundi tercicir daripada menunaikan hak demokrasi mereka hanya disebabkan kekangan kesihatan atau pergerakan.
“Saya terharu diberi kepercayaan oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor untuk menguruskan pengangkutan pesakit dan pengundi uzur ke pusat pengundian.
“Ini merupakan salah satu tanggungjawab saya untuk membantu mereka melaksanakan hak sebagai rakyat dalam memilih pemimpin.
Sebelum ini saya membawa pesakit menggunakan perkhidmatan berbayar.
“Namun hari ini ambulans Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor dapat memberikan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Bilik Operasi Gedong Lalang, Ampangan, di sini hari ini.
Menurutnya, semangat yang ditunjukkan oleh para pesakit dan pengundi uzur membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai pengundi tetap diutamakan.
Katanya, walaupun berdepan kekangan kesihatan, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk menghargai hak mengundi. – HARAKAHDAILY 1/8/2026











