
LAPORAN RCI bagi kes yang dikatakan ada ‘penyakauan’ dalam pengurusan Tabung Haji telah dikeluarkan dua hari lalu. Keberanian PMX dalam mendedahkan apa yang sesetengah pihak mendakwa sebagai mencuri wang rakyat, dipuji ramai.
Dengan angka-angka dan ketenatan kedudukan kewangan TH, namun bonusnya masih dinikmati orang atasannya, ia dikecam rakyat. Dan bagi sesetengahnya pula ia tidak lebih dari sekadar ulangan cara lama, cara berpolitik kuno. Mereka mempersoalkan kenapa sekarang? Kenapa tidak lebih dahulu laporan yang sudah lama siap itu dibentangkan?
Apapun satu perkara yang jelas dan benar, PAS tidak terlibat dalam apa yang dikatakan sebagai penyelewengan atau salah urus, atau salah tadbir mahupun kecurian wang rakyat. Bukan sahaja dalam laporan ini, malah dalam laporan-laporan terdahulu, PAS tidak pernah layak untuk bertanding bagi kategori parti paling korup. PAS alhamdulillah telah membuktikan mereka berjaya, paling kurang sehingga kini, tidak melakukan semua perkara itu.
Ketika sebahagian rakyat memuji akan ketelusan PH sekarang dan pada masa mereka dikatakan mahu membaiki kedudukan kewangan TH, PAS telah jauh mendahului mereka. Ketika Umno diangkat sebagai kumpulan yang cuba menyelamatkan harta orang Islam di dalam TH, PAS juga telah jauh meninggalkan mereka dalam kejayaan menyelamatkan hak milik orang Islam di negeri-negeri yang mereka tadbir.
Namun dalam kedua-dua kejayaan itu, PAS tidak pernah mendapat pujian, malah PAS terus dikutuk tanpa sebab. Ada sahaja yang tidak berkenan di mata mereka, akan diungkit menjadi asbab PAS dibenci. Begitulah politik mereka, tidak menghargai pentadbiran PAS yang adil.
Rakyat mungkin tertanya-tanya, kenapa setelah banyak tahun, masih lagi tiada tindakan diambil terhadap golongan yang mereka katakan bersalah dalam mencuri wang TH itu? Syor oleh panel RCI dan juga Laporan Audit Negara telah lama dibuat, namun ke manakah ia menghilang?
Di sinilah politik jijik dicampur masuk dalam strategi sesetengah orang politik. Tiada pendakwaan rasmi, tetapi nama pesalah disebut-sebut di luar mahkamah supaya tidak boleh membela diri. Jika dalam penghakiman, akan ada soal jawab dan mungkin terlepas. Oleh itu mereka tertekan, tidak didakwa, tetapi tetap dirujuk sebagai penyakau oleh orang.
Dalam masa yang sama, walaupun Umno dituduh dengan berbagai gelaran yang buruk, PH masih bermain pantun, memujuk Umno yang sudahpun membuat keputusan untuk berkawan dengan PAS. Jika benar Umno buruk dan jahat, mana mungkin dipujuk-pujuk melalui pantun seloka.
Sudahlah buruk, jahat pula, kata mereka, menunjukkan bencinya mereka. Tetapi bila PH dapat Umno, didakap erat, tidak mahu dilepas. Mereka sanggup menghina PAS kerana Umno tidak memilih PH. Sedangkan PH sepatutnya membiarkan PAS bersama Umno yang jahat dan buruk itu. Biarlah mereka memburuk bersama, kan?
Keadaan begini kemudiannya boleh menjurus kepada politik mengugut pula kerana inginkan kemahuan mereka dituruti. Demi kuasa, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Akan tetapi yang mereka gelarkan sebagai gila kuasa ialah PAS, sedangkan PAS selalu menyatakan ambillah jawatan, kami hanya mahu membantu.
Kata mereka lagi, sebab mahukan kuasa, PAS sanggup bergabung dengan penjenayah yang membaham wang rakyat ini. Dan jika mereka yang bergabung, akan segera hilang gelaran penjenayah itu. Segeralah menjadi sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab. Demi negara, demi rakyat kata mereka, gabungan itu terpaksa dilakukan.
Dengan itu mereka akan dapat mengekalkan kuasa. Nanti di PRN negeri lain, mereka boleh menggunakan cara yang sama bagi mengekalkan kedudukan mereka. Ugutan sebegini adalah amalan mudah terutama jika rakan mereka ialah manusia pendosa yang sering melakukan kejahatan. Ugutan bagi memenjarakan adalah suatu yang mujarab bagi mendiamkan lawan untuk tidak melawan. Sudah pasti mereka tidak ingin ke penjara.
Akan tetapi cara sebegini sebenarnya adalah merbahaya kepada PH, hanya sahaja mereka tidak mempunyai cara lain. Jelas kerana mereka juga mempunyai pimpinan yang ada kes rasuah. Bayangkan jika rakyat tidak mempedulikan laporan RCI itu dan terus menyokong gandingan PN-BN dalam PRN Negeri Sembilan nanti.
Malah jika rakyat sanggup memberikan jumlah undi yang lebih tinggi berbanding dahulu, percayalah itu petanda kepada talian hayat PH sudah putus. Bukan di Negeri Sembilan sahaja malah bakal terjadi di seluruh negara.
Apa maknanya itu? Maknanya indikasi rakyat sudah berada pada tahap kemuncak kebencian kepada PH. Biarlah apa pun parti lain yang buat, PH tetap mereka mahu jatuhkan. Saling tak tumpah sewaktu PH berkempen mahu menjatuhkan Umno dahulu, ABU, Asal Bukan Umno, sekarang berbalik kepada mereka. Yalah, PH nak kata orang jahat, dia sendiri tak tahu nak tunai janji. Bukan sikit, bukan sekejap rakyat tunggu.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/8/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.










