PN-BN sandaran rakyat, Putrajaya kini dalam jangkauan

- Advertisement -

PORT DICKSON: “Negeri Sembilan ini merupakan suatu permulaan, suatu sejarah,” kata Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, pihak lawan tidak menjangka parti-parti yang berbeza latar politik mampu duduk bersama, membentuk muafakat dan mencapai kerjasama politik di Negeri Sembilan dalam tempoh yang singkat.

Jelasnya, pencapaian itu terhasil daripada pengorbanan barisan kepimpinan di semua peringkat, daripada pucuk pimpinan hingga ke akar umbi, yang sanggup mengetepikan perbezaan demi matlamat lebih besar.

Ketepi perbezaan, elak pertembungan

Ahmad Samsuri berkata, dalam urusan pembahagian kerusi, semua pihak berlapang dada dan mengetepikan keinginan untuk menjadi calon hingga tidak berlaku pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Perbezaan ini tentulah bukan di kalangan parti politik sahaja ada, adik-beradik pun ada perbezaan pandangan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu.

Namun, beliau menegaskan bahawa perhatian perlu diberikan kepada matlamat bersama yang ingin dikejar, bukannya terus memperdebatkan perbezaan tidak berkesudahan.

Katanya, Negeri Sembilan kini menjadi bukti bahawa kerjasama politik yang pada asalnya dilihat sukar untuk direalisasikan akhirnya dapat dibentuk.

Kerjasama tersebut ujarnya, diharap dapat diteruskan ke Melaka sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, seterusnya dibawa ke peringkat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau menyifatkan kesepakatan PN dan BN sebagai suatu ‘mimpi ngeri’ kepada Pakatan Harapan (PH), kerana matlamat gabungan itu tidak berhenti di Negeri Sembilan, sebaliknya untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU16.

Sasar kemenangan dua pertiga

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kemenangan di DUN-DUN sasaran amat penting bagi membantu usaha mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan daripada PH.

Katanya, kerjasama baharu itu perlu dibuktikan sebagai kukuh, bukannya kerjasama longgar yang boleh berpecah pada bila-bila masa seperti didakwa pihak lawan.

“Sasaran kita bukan hendak menang majoriti mudah di Negeri Sembilan, kita hendak menang dua pertiga,” ujarnya dan berkata kemenangan dua pertiga akan menjadi saksi dan bukti bahawa kerjasama dibentuk dalam tempoh singkat mampu membuahkan hasil.

Beliau percaya Putrajaya berada dalam jangkauan sekiranya kepimpinan PN dan BN terus komited mempertahankan kerjasama tersebut.

Semua jentera ada peranan

Ahmad Samsuri turut mengibaratkan pilihan raya seperti perlawanan bola sepak, yang kejayaannya bukan bergantung kepada 11 pemain di padang semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, kemenangan turut bergantung kepada seluruh pasukan termasuk jurulatih, pengurus, pemain simpanan, penyokong dan pasukan sorak.

Justeru, Dr Samsuri mahu semua anggota jentera pilihan raya mempunyai peranan masing-masing, bukan hanya calon atau petugas utama.

Setiap anggota katanya, perlu menjalankan tugas mengikut posisi masing-masing bagi memastikan kemenangan pada 1 Ogos termasuk mereka yang menguruskan strategi, kebajikan, logistik dan kerja-kerja kempen.

Menurutnya, suasana pilihan raya ketika ini lebih terbuka berbanding kira-kira 20 tahun lalu apabila petugas kempen berdepan keadaan sukar, termasuk dihalau atau dimaki ketika berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata harapan rakyat terhadap gabungan itu kini tinggi untuk melihat perubahan berlaku di Negeri Sembilan, seterusnya menjadi pencetus perubahan di peringkat nasional dan Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PN dan BN agar terus bergerak sehingga saat akhir tanpa rasa penat, lemah atau berputus asa, sebelum menantikan keputusan pada malam 1 Ogos dan meraikan kemenangan pada hari berikutnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -