
1. Ringkasan Eksekutif
Laporan ini merumuskan kecenderungan politik pengundi berdasarkan temu bual lapangan, perbincangan kumpulan berfokus, pemerhatian sepanjang tempoh kempen, interaksi dengan pengundi serta pemantauan reaksi di media social dari 18 ke 31 Julai 2026.
Instrumen kajian yang disediakan meliputi kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dan mengukur latar belakang responden, kecenderungan parti, tahap keyakinan terhadap gabungan politik, isu sosioekonomi, kepentingan Melayu dan Islam, penghormatan terhadap institusi Raja dan adat serta penilaian terhadap manifesto, calon dan kepimpinan nasional.
Secara keseluruhannya, dapatan kualitatif menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerjasama BN–PN berada pada tahap amat kuat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Berdasarkan suasana lapangan yang diperhatikan, BN–PN mempunyai peluang amat cerah untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam senario terbaik, iaitu sekiranya kadar keluar mengundi penyokong tinggi dan pemindahan undi antara kedua-dua gabungan berlaku dengan baik, BN–PN turut mempunyai kemungkinan untuk memperolehi majoriti dua per tiga.
Namun begitu, unjuran ini tertakluk pada beberapa risiko. Hubungan akar umbi antara sebahagian jentera BN dengan PN masih belum seragam. Masalah penerimaan calon dan sentimen kesetiaan lama kepada parti boleh menyebabkan pemindahan undi tidak berlaku sepenuhnya. Walaupun demikian, kelemahan tersebut pada peringkat ini tidak kelihatan cukup besar untuk memadamkan gelombang sokongan kepada kerjasama BN–PN.
Dapatan lapangan turut menunjukkan bahawa isu penarikan balik gelaran Datuk yang dikaitkan dengan Tan Sri Dr Rais Yatim, Pengerusi Wawasan, telah menghasilkan kesan sebaliknya. Masa tindakan tersebut menimbulkan persepsi bahawa ia cuba menjejaskan prestij beliau dan kerjasama BN–PN lalu mencetuskan simpati pengundi dengan kesan limpahan yang berpotensi mengukuhkan peluang anaknya, Danni Rais, di DUN Klawang.
2. Reka Bentuk Penilaian Lapangan
Kajian membandingkan kecenderungan pengundi terhadap PH, BN–PN, BERSATU, calon lain dan kelompok yang belum membuat keputusan. Ia juga mengukur tahap keyakinan terhadap keupayaan setiap gabungan untuk mentadbir secara stabil, berkesan dan menjaga kebajikan rakyat.
Penilaian kualitatif pula memberikan perhatian kepada:
1. sentimen pengundi terhadap prestasi pentadbiran negeri dan Persekutuan;
2. penerimaan terhadap kerjasama BN–PN;
3. persepsi mengenai kepentingan Melayu, Islam, institusi Raja dan adat Negeri Sembilan;
4. keberkesanan pendekatan kempen;
5. penerimaan terhadap calon;
6. pemindahan sokongan antara penyokong tradisional BN dengan PN; dan
7. tindak balas terhadap isu yang dibangkitkan pada penghujung kempen.
3. Pengukuhan Sokongan Melayu kepada BN–PN
Dapatan paling ketara ialah kemunculan gelombang penyatuan undi Melayu yang memihak kepada BN–PN. Kerjasama kedua-dua gabungan dilihat oleh ramai peserta temu bual dan FGD sebagai jalan yang lebih meyakinkan untuk mewujudkan kestabilan politik serta membina kerajaan negeri yang lebih tegas dalam mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.
Sebahagian pengundi yang sebelum ini menyokong BN atau PN secara berasingan kini melihat kerjasama tersebut melalui kerangka yang lebih besar. Mereka tidak lagi sekadar menilai sejarah persaingan antara parti, tetapi menumpukan kepada keperluan mengelakkan perpecahan undi Melayu.
Sentimen ini sangat berkait dengan persepsi bahawa PH tidak cukup berkesan dalam menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta tidak begitu meyakinkan dalam isu berkaitan institusi Raja dan adat Negeri Sembilan.
Persepsi tersebut tidak semestinya terbina daripada satu dasar tertentu sahaja. Sebaliknya, ia muncul daripada himpunan isu, kenyataan pemimpin, pengalaman dengan pentadbiran dan kebimbangan bahawa suara Melayu semakin tidak dominan dalam penentuan dasar.
4. Pemindahan Undi Belum Sempurna
Walaupun gelombang sokongan kepada BN–PN kelihatan kuat, pemindahan undi antara penyokong kedua-dua gabungan perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh.
Di sesetengah kawasan, masih terdapat penyokong tegar yang sukar menerima calon daripada parti yang pernah menjadi lawan mereka. Hubungan peribadi antara pemimpin tempatan, persaingan lama, pembahagian kerusi dan rasa tidak puas hati terhadap calon tertentu juga menjadi faktor yang dikenal pasti menjejaskan tahap pemindahan undi.
Terdapat kemungkinan sebahagian penyokong memilih untuk tidak keluar mengundi, mengundi calon lain atau memberikan undi protes. Risiko ini lebih ketara di kawasan yang kerjasama jenteranya bermula lewat atau tidak disertai penyelarasan operasi yang kukuh.
Namun begitu, temu bual dan FGD yang dibuat menunjukkan bahawa masalah tersebut lebih bersifat setempat. Ia tidaklah sehingga berkembang menjadi satu penolakan yang menyeluruh terhadap formula BN–PN. Dalam banyak keadaan, keinginan untuk mengalahkan PH dilihat lebih besar daripada rasa tidak puas hati terhadap pengaturan kerjasama.
5. Isu Saat Akhir Tidak Banyak Mengubah Kecenderungan
Kempen penghujung pilihan raya menyaksikan beberapa isu besar dibangkitkan bagi mencalarkan imej kedua-dua komponen BN–PN.
Antaranya ialah tindakan Kerajaan Persekutuan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji ekoran pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai bahawa laporan tersebut boleh didedahkan selepas kerajaan berpendapat bahawa Tabung Haji telah berada pada kedudukan lebih kukuh dan stabil.
Berdasarkan maklum balas lapangan yang dibekalkan, isu tersebut tidak menghasilkan perubahan sokongan yang besar. Sebahagian besar pengundi melihat masa pendedahannya terlalu hampir dengan hari mengundi dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada perang persepsi pilihan raya, bukannya isu baharu yang menentukan pilihan mereka.
Begitu juga dengan penyebaran petikan video ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengenai hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu. Ucapan itu mencetuskan kontroversi selepas sebahagian petikannya disebarkan dan dikritik sebagai berunsur perkauman.
Dalam temu bual dan FGD yang dibuat, penjelasan yang diberikan oleh Sanusi bahawa ucapannya merujuk kedudukan sejarah Tanah Melayu serta tidak bertujuan mempertikaikan kewarganegaraan atau hak bukan Melayu serta penyebaran transkripsi penuh rakaman berjaya mengurangkan kesan negatif isu tersebut dalam kalangan penyokong sasaran. Pengundi yang telah cenderung kepada BN–PN pula tidak menunjukkan apa-apa perubahan besar hanya kerana kontroversi berkenaan.
Bagaimanapun, kesannya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan pengundi atas pagar pula adalah tidak seragam. Sebahagian masih melihat kenyataan itu secara negatif walaupun ia tidak mencukupi untuk mengubah keseluruhan keputusan pilihan raya.
6. Isu Penarikan Gelaran Rais Yatim Mencetuskan Kesan Simpati
Dapatan temu bual dan FGD turut menunjukkan bahawa isu penarikan balik gelaran Datuk yang dikaitkan dengan Pengerusi Wawasan, Tan Sri Dr Rais Yatim, tidak menghasilkan kesan negatif sebagaimana yang mungkin dijangkakan. Sebaliknya, masa tindakan tersebut, ketika kempen sedang memuncak, ditafsirkan oleh sebahagian pengundi sebagai cubaan saat akhir untuk menjejaskan imej Rais dan imej Wawasan serta kerjasama BN–PN.
Persepsi tersebut mencetuskan rasa simpati, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu di Jelebu yang masih mengingati rekod, pengaruh dan sumbangan Rais sebagai tokoh politik Negeri Sembilan. Dalam FGD, sebahagian peserta melihat isu itu bukan semata-mata berkaitan darjah kebesaran, tetapi sebagai tekanan terhadap seorang tokoh yang lantang membicarakan adat, Perlembagaan dan kedudukan institusi negeri.
Kesan limpahan simpati ini turut dikesan dalam pertandingan DUN Klawang yang ditandingi anak beliau, Danni Rais, sebagai calon PN–Wawasan. Walaupun Danni berdepan cabaran pemindahan undi dan persaingan tiga penjuru, sentimen simpati terhadap bapanya telah meningkatkan keterlihatan kempen serta membantu mengukuhkan penerimaan pengundi terhadap dirinya. Berdasarkan maklum balas lapangan, perkembangan ini menyebabkan Danni mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi Klawang, terutama jika jentera BN–PN kekal bersatu dan kadar keluar mengundi Melayu berada pada tahap tinggi.
7. Kempen Besar Kurang Berkesan Berbanding Sentuhan Peribadi
Pemerhatian lapangan menunjukkan bahawa ceramah berskala besar berjaya menghasilkan gambaran kekuatan dan semangat penyokong, tetapi jumlah kehadiran tidak boleh diterjemahkan secara automatik sebagai undi.
Begitu juga, penggunaan sumber kewangan, pemberian bantuan atau kegiatan kempen yang memerlukan perbelanjaan besar tidak kelihatan sebagai faktor paling kuat mengubah kecenderungan politik pengundi.
Sebaliknya, kempen kecil dari rumah ke rumah didapati lebih berkesan. Pertemuan bersemuka membolehkan petugas mendengar masalah pengundi, menjelaskan kekeliruan dan membina keyakinan secara peribadi.
Media sosial turut memberikan kesan besar kerana mesej dapat disampaikan dengan pantas, diulang dan disesuaikan dengan isu tempatan. Kandungan video pendek, penerangan mudah serta respons segera terhadap serangan lawan lebih mudah dikongsi berbanding ucapan panjang dalam ceramah.
Ramai pengundi juga telah membuat keputusan lebih awal berdasarkan identiti politik, prestasi kerajaan, calon dan isu yang dekat dengan kehidupan harian.
8. Kempen Aktif Perdana Menteri Tidak Menghasilkan Lonjakan kepada PH
Kehadiran aktif Perdana Menteri dalam kempen pada awalnya dijangka membantu PH mengukuhkan sokongan dan menarik pengundi atas pagar.
Namun begitu, berdasarkan maklum balas yang diperolehi dalam temu bual dan FGD, kempen tersebut tidak menghasilkan perubahan besar dalam kalangan pengundi yang telah cenderung kepada BN–PN. Dalam kelompok tertentu, kehadiran terlalu kerap pemimpin Persekutuan bahkan memberikan kesan sebaliknya atau backfire.
Sebahagian pengundi mentafsirkannya sebagai petunjuk bahawa PH sedang berada dalam keadaan tertekan. Serangan yang terlalu tertumpu kepada lawan juga menyebabkan isu prestasi kerajaan, kos sara hidup dan kebajikan rakyat kembali dipersoalkan.
Penemuan ini tidak bermakna Perdana Menteri langsung tidak mempunyai pengaruh. Beliau masih mampu mengukuhkan penyokong sedia ada PH dan mengekalkan sebahagian pengundi bukan Melayu. Walaupun begitu, dari sudut penukaran undi Melayu yang telah bergerak kepada BN–PN, pengaruh kempen tersebut adalah amat terhad.
9. Sokongan Bukan Melayu kepada PH Menunjukkan Sedikit Penyusutan
PH masih mempunyai asas sokongan yang kuat dalam kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar. Walau bagaimanapun, maklum balas lapangan menunjukkan sedikit penyusutan dari segi keghairahan, mobilisasi dan keyakinan berbanding pilihan raya terdahulu.
Penyusutan ini tidak semestinya bermaksud berlaku peralihan besar secara langsung kepada BN–PN. Sebahagiannya mungkin diterjemahkan melalui kadar keluar mengundi yang lebih rendah, peningkatan pengundi yang belum membuat keputusan atau rasa tidak puas hati terhadap calon dan prestasi kerajaan.
Dalam kerusi campuran yang mempunyai pertandingan rapat, penurunan kecil kadar keluar mengundi bukan Melayu boleh memberi kesan besar, khususnya jika pada masa yang sama berlaku peningkatan keluar mengundi dalam kalangan penyokong Melayu BN–PN.
10. Unjuran Keputusan
Berdasarkan dapatan lapangan yang dibekalkan, dua senario boleh dibentuk:
Senario asas: BN–PN memperoleh majoriti mudah yang selesa hasil penggabungan undi Melayu, kelemahan mobilisasi PH dan keberkesanan kempen akar umbi.
Senario optimistik: BN–PN mencapai majoriti dua per tiga apabila pemindahan undi berlaku pada tahap tinggi, calon diterima, penyokong keluar mengundi secara maksimum dan sokongan bukan Melayu kepada PH mengalami penyusutan yang bermakna.
Senario dua per tiga bagaimanapun bergantung kepada keputusan sejumlah kerusi marginal, corak keluar mengundi dan kemampuan jentera membawa penyokong ke pusat mengundi.
11. Kesimpulan
Penilaian keseluruhan menunjukkan bahawa gelombang penyatuan Melayu melalui kerjasama BN–PN sedang bergerak kuat di Negeri Sembilan. PH pula berhadapan masalah persepsi yang serius dalam isu kepentingan Melayu, Islam, institusi Raja dan adat negeri di samping tekanan berkaitan prestasi pentadbiran serta kos sara hidup.
Percanggahan dalaman dan pemindahan undi yang belum sempurna merupakan kelemahan BN–PN. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian dan maklum balas kualitatif, kelemahan itu belum cukup kuat untuk mengganggu momentum yang sedang terbentuk.
Percubaan saat akhir mengaitkan BN dengan laporan RCI Tabung Haji serta menggambarkan PN sebagai ekstrem melalui petikan ucapan Sanusi tidak dilihat menghasilkan perubahan besar dalam kelompok pengundi yang telah membuat keputusan.
Kempen berskala kecil, hubungan rumah ke rumah dan penggunaan media sosial didapati lebih berkesan daripada ceramah besar atau kempen berbelanja tinggi. Dalam masa yang sama, kempen aktif pemimpin utama PH tidak memperlihatkan lonjakan sokongan yang jelas dan dalam beberapa kelompok menghasilkan kesan balas.
Dapatan mengenai isu gelaran Tan Sri Dr Rais Yatim turut memperlihatkan bahawa tindakan saat akhir yang dianggap cuba mencalarkan prestij tokoh BN–PN boleh menghasilkan kesan berbeza. Rasa simpati yang timbul bukan sahaja mengekalkan sokongan kepada Rais dan Wawasan, malah memperkukuhkan kedudukan Danni Rais di DUN Klawang.
Dengan syarat jentera BN–PN dapat mengekalkan disiplin, memaksimumkan kadar keluar mengundi dan menyelesaikan masalah pemindahan undi pada peringkat tempatan, BN–PN mempunyai peluang amat cerah memenangi PRN Negeri Sembilan.
MOHD EIKHWAN M ALI
Pegawai Eksekutif Strategi, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Bagi pihak Team Pengkaji Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) – HARAKAHDAILY 1/8/2026










