
KUNAK: Perikatan Nasional (PN) Sabah digesa menampilkan calon berwibawa, berintegriti dan berpengalaman bagi bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Sri Wahyuni Bunari berkata, calon yang dipilih perlu mempunyai rekod khidmat masyarakat yang baik selain benar-benar memahami aspirasi rakyat Sabah.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan suara dan keperluan rakyat Sabah dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Sabah memerlukan lebih ramai wakil rakyat yang berintegriti, berwibawa serta benar-benar memahami aspirasi rakyat negeri ini di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membentangkan usul pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri kali ke-36, di sini, hari ini.
Muktamar itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan. Turut berucap ialah Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Noraini Hussin.
Sri Wahyuni berkata, pemilihan calon berkualiti juga penting untuk memberi ruang kepada kepimpinan baharu yang kompeten serta mendapat penerimaan masyarakat.
Katanya, PN perlu diperkukuhkan sebagai gabungan yang mampu menawarkan kepimpinan beramanah, bersih dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Antara perkara yang perlu diperjuangkan termasuk pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi, pendidikan, kebajikan, kos sara hidup dan keselamatan.
“Pemerkasaan wanita, belia serta institusi keluarga juga perlu diberi perhatian dalam agenda perjuangan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, calon yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dan diyakini rakyat mampu meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan PN untuk menawarkan pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti.
Dalam pada itu, ujarnya, Dewan Muslimat PAS negeri berpandangan Sabah memerlukan lebih ramai wakil rakyat yang mampu membawa isu dan kepentingan negeri ke peringkat nasional.
Usul supaya PN Sabah meletakkan calon yang berwibawa, berintegriti, berpengalaman serta mempunyai rekod khidmat masyarakat yang cemerlang untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU16 itu diterima dengan bahas. – HARAKAHDAILY 1/8/2026










