Kekuatan PAS pada akhlak, integriti dan kesantunan

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KUNAK: Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa kekuatan sebenar PAS bukan sekadar terletak pada wadah perjuangan politik, sebaliknya dibina atas asas akhlak, integriti, kesantunan serta hubungan yang kukuh dengan Allah SWT dan sesama manusia.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Sabah itu berkata, ahli parti memiliki kelebihan yang disukai masyarakat luar apabila sentiasa menampilkan budi pekerti yang baik, akhlak mulia, sifat mesra, amanah serta integriti dalam kehidupan seharian.

“Nabi tidak akan berjaya dengan keindahan Islam tanpa dipraktikkan dengan akhlak Nabi. Maka akhirnya berbondong-bondong orang masuk Islam kerana akhlak Nabi, sampaikan orang menggelarnya Al-Amin.

“Orang yang menggelar Nabi sebagai orang yang amanah bukan orang Islam tetapi dalam kalangan orang yang bukan Islam,” katanya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Kali Ke-36 di Dewan Arena Belia, di sini, hari ini.

Tambahnya, kelebihan yang dimiliki ahli PAS harus dimanfaatkan melalui tiga tunjang utama iaitu dakwah, tarbiah dan siasah.

Katanya, ketiga-tiga elemen itu perlu digerakkan secara seimbang agar masyarakat dapat melihat keistimewaan perjuangan PAS yang berteraskan Islam.

Menurutnya, apabila dakwah dan tarbiyah diperkasakan, siyasah akan menjadi medan untuk menzahirkan nilai Islam dalam pentadbiran sehingga masyarakat melihat PAS memiliki wow-factor dan x-factor yang membezakan parti itu daripada gerakan lain.

“Maka, kita manfaatkan kelebihan kita bukan untuk mencari pujian manusia tetapi untuk mengangkat martabat perjuangan kita dan pastilah untuk menerus apa yang sudah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul,” ujar beliau yang juga ADUN Karambunai.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa misi terbesar perjuangan PAS adalah mengajak seluruh manusia tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta menjauhkan masyarakat daripada segala bentuk taghut yang merosakkan akidah dan kehidupan.

Beliau turut menyeru agar seluruh ahli, khususnya muslimat, terus istiqamah menyambung mata rantai perjuangan Islam kerana medan inilah yang menjadi perjuangan sebenar setiap pendukung PAS.

Pada masa sama, Dr Aliakbar menegaskan bahawa PAS sentiasa mengajak masyarakat bersatu atas dasar mencari keredaan Allah SWT tanpa meminggirkan sesiapa.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat pihak tertentu yang cuba menyelewengkan gambaran sebenar Islam serta membina persepsi negatif terhadap PAS sedangkan Islam mengajar nilai rahmat dan kasih sayang kepada seluruh manusia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli PAS supaya membetulkan cara berfikir terhadap perjuangan parti dengan tidak menjadikan pilihan raya sebagai satu-satunya ukuran kejayaan.

Sebaliknya, ujar beliau pengukuhan usrah, liqa’, tarbiyah dan pembinaan ahli perlu terus diperkasakan sepanjang masa kerana kekuatan PAS terletak pada pembentukan insan sebelum memperoleh kemenangan dalam medan siasah. – HARAKAHDAILY 1/8/2026

- Advertisement -