Kawal rapi KWAN elak jadi tabung kepentingan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pada prinsipnya, saya menyokong kerajaan untuk memperkukuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebagai simpanan strategik untuk manfaat generasi akan datang, namun sokongan ini mestilah disertai dengan semangat semak dan imbang.”

- Advertisement -

Ahli Dewan Negara, Senator Abdul Nasir Idris berkata, setiap sen dan ringgit yang disimpan dalam KWAN pada hari ini perlu benar-benar memberikan manfaat kepada anak cucu pada masa hadapan.

Kerajaan menurutnya, memaklumkan bahawa sehingga akhir 2024, aset KWAN telah mencecah RM22.43 bilion, dengan PETRONAS kekal sebagai penyumbang terbesar menerusi sumbangan sukarela sebanyak RM13.5 bilion.

Beliau turut merujuk kenyataan kerajaan bahawa pulangan purata tahunan KWAN adalah sekitar enam peratus sejak dana itu ditubuhkan.

“Pindaan RUU itu juga memperkenalkan mekanisme caruman minimum berkanun sebanyak 0.1 peratus, selain mewajibkan sekurang-kurangnya dua peratus daripada dividen yang diterima Kerajaan Persekutuan daripada PETRONAS disalurkan ke dalam KWAN.

“Langkah ini baik kerana ia menjadikan aliran masuk dana lebih konsisten dan tidak lagi bergantung kepada budi bicara semata-mata,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Kelulusan Parlimen bagi pengeluaran besar

Namun, Abdul Nasir menegaskan bahawa beberapa aspek semak dan imbang perlu diperhalusi, khususnya berhubung pengeluaran dana.

Beliau mengingatkan bahawa RM5 bilion telah dikeluarkan daripada KWAN pada 2021 sehingga mencetuskan perdebatan mengenai tujuan asal dana tersebut.

“Episod ini menunjukkan bahawa dana generasi masa depan boleh digunakan apabila tiada kawalan yang cukup ketat,” katanya sambil mencadangkan setiap pengeluaran melebihi jumlah tertentu mesti mendapat kelulusan Parlimen.

Beliau juga mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diberi kuasa meneliti setiap permohonan pengeluaran, manakala laporan penggunaan dana perlu dibentangkan secara berkala sehingga sesuatu projek diselesaikan.

Ketelusan pelaburan dan perlindungan politik

Mengenai ketelusan pelaburan, Abdul Nasir mempersoalkan pecahan pelaburan KWAN dalam ekuiti, bon, aset antarabangsa dan aset domestik, termasuk penanda aras prestasi atau benchmark yang digunakan.

Tanpa pendedahan mencukupi katanya, Parlimen sukar menilai sama ada prestasi KWAN benar-benar kompetitif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan laporan tahunan KWAN memaparkan prestasi mengikut kelas aset, kos pengurusan risiko pelaburan serta pulangan sebenar selepas mengambil kira inflasi.

Abdul Nasir turut mengingatkan supaya KWAN dilindungi daripada campur tangan politik dan tidak berubah menjadi tabung kecemasan kerajaan setiap kali berlaku tekanan kewangan.

“Dana seperti ini bukan diwujudkan untuk menampung kekurangan fiskal tahunan,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan syarat pengeluaran mesti ditafsir secara sempit dan hanya digunakan dalam keadaan luar biasa sebagaimana diperuntukkan dalam akta.

Portal awam dan KPI jelas

Dalam aspek akauntabiliti kepada rakyat, Abdul Nasir mengalu-alukan langkah kerajaan membentangkan laporan beraudit di Parlimen setiap tahun.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan laporan itu turut disiarkan kepada umum melalui sebuah portal khas yang memaparkan jumlah aset semasa, caruman tahunan, pengeluaran, prestasi pelaburan dan projek yang menerima pembiayaan.

“Rakyat berhak mengetahui bagaimana dana milik generasi ini diuruskan,” jelasnya.

Beliau juga menggesa kerajaan mempelbagaikan sumber caruman KWAN yang kini banyak bergantung kepada PETRONAS, termasuk meneroka hasil sumber asli baharu seperti unsur nadir bumi (REE), pelaburan strategik dan sumbangan kerajaan negeri.

Bagi memastikan manfaat dana sampai kepada generasi akan datang, beliau menyokong peruntukan pengeluaran bagi pendidikan, kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

Namun, beliau mahu petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas diwujudkan bagi setiap pengeluaran dana, termasuk pencapaian pendidikan, indikator kesihatan dan hasil perubahan iklim yang boleh diukur.

Abdul Nasir berkata, kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur berdasarkan jumlah dana kekayaan yang dimilikinya, sebaliknya disiplin tadbir urus tinggi, ketelusan dan akauntabiliti yang diamalkan secara konsisten.

Beliau menggesa kerajaan menerima lima cadangan utama, iaitu kelulusan Parlimen bagi pengeluaran besar, pengawasan berkala oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, pendedahan penuh prestasi dan risiko pelaburan, portal awam yang telus serta KPI jelas bagi setiap pengeluaran dana.

“Hanya dengan tadbir urus yang telus, disiplin fiskal yang tinggi dan pengawasan Parlimen yang berkesan, insya-Allah KWAN akan benar-benar menjadi amanah kepada generasi Malaysia pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -