
KUALA LUMPUR: “Kerajaan tidak boleh menuntut disiplin dalam menyimpan hasil negara, tetapi pada masa yang sama gagal memberi keyakinan bahawa hak negeri pengeluar petroleum telah disempurnakan sepenuhnya terlebih dahulu,” demikian ditegaskan Senator Hussin Ismail.
Ahli Dewan Negara itu berkata, penubuhan dan pengukuhan KWAN hendaklah didasari prinsip amanah, keadilan fiskal serta penghormatan terhadap hak negeri-negeri pengeluar sumber asli, khususnya petroleum.
Beliau membaca petikan ayat al-Quran daripada Surah al-A’raf ayat 27 mengenai larangan mengkhianati amanah Allah, Rasul dan sesama manusia dan berkata tabung yang membawa nama ‘amanah’ mesti benar-benar diuruskan secara amanah dan dilihat amanah oleh rakyat.
Menurutnya, fasal 4(1)(b) dan 4(1)(c) RUU berkenaan perlu dilihat daripada sudut keadilan fiskal yang sewajarnya didahulukan sebelum pembentukan simpanan negara.
Beliau merujuk sumber caruman KWAN yang melibatkan peratusan hasil petroleum dan sumber asli negara, sambil mempersoalkan sama ada hasil unsur nadir bumi (REE) akan turut menjadi sumber dana tersebut pada masa depan.
“Menteri sebelum ini menyatakan REE berpotensi mengatasi petroleum sebagai sumber utama hasil negara, malah memberi jaminan bahawa isu royalti petroleum tidak akan berulang terhadap REE,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) di Dewan Negara, semalam.
Hak negeri pengeluar mesti disempurnakan
Hussin berkata Terengganu, Sarawak dan Sabah, diikuti Kelantan, telah menyumbang kepada kemakmuran negara sejak sekitar 1975 dan 1976, namun beberapa negeri pengeluar masih berdepan isu hak hasil yang belum diselesaikan.
Beliau berkata sumber petroleum semakin berkurangan, dengan pengeluaran minyak dan gas dalam tempoh 10 tahun menyusut daripada sekitar 700,000 tong sehari kepada 350,000 tong sehari, manakala deposit REE pula semakin mendapat perhatian.
Beliau turut mengemukakan data sumbangan petroleum kepada negara, iaitu RM81.2 bilion atau 23.8 peratus pada 2019, RM50.5 bilion atau 15.1 peratus pada 2020 dan RM69.8 bilion atau 20.6 peratus pada 2023.
Juga tambahnya, RM61.8 bilion atau 18.4 peratus pada 2024 serta dianggarkan RM62 bilion atau 18.3 peratus pada 2025.
“Kalau sumber ini dimasukkan ke tabung ini, tetapi hak negeri yang menjadi penyumbang kepada tabung ini tidak diambil kira, apakah itu suatu amanah?” soalnya.
Beliau menegaskan royalti petroleum ialah hak dan bukannya ihsan, berasaskan Akta Pembangunan Petroleum 1975 serta perjanjian berkaitan.
Katanya, jaminan lisan tidak memadai jika peruntukan undang-undang dan perjanjian sendiri gagal dipatuhi.
Hussin turut membangkitkan isu sempadan laut, dengan menyatakan konvensyen laut di Geneva pada 1982 mengubah ukuran daripada tiga batu nautika kepada 12 batu nautika, namun kerajaan masih menggunakan ukuran lebih kecil dalam isu berkaitan petroleum.
Wakil negeri dalam lembaga KWAN
Beliau menyokong cadangan Senator Pele Peter Tinggom supaya wakil Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota lembaga pengarah KWAN bagi memastikan hasil sumber asli memberi manfaat sebenar kepada negeri terlibat.
Menurutnya, wakil negeri pengeluar utama petroleum dan hasil bumi perlu berada dalam lembaga itu kerana sumber berkenaan datang dari negeri-negeri tersebut, bukan semata-mata ditentukan di peringkat Persekutuan.
Beliau juga meminta kerajaan memberi komitmen rasmi dan perakuan bertulis yang sahih bahawa semua obligasi kewangan Persekutuan kepada negeri pengeluar petroleum serta sumber lain, termasuk REE pada masa depan, disempurnakan sebelum hasil itu digunakan bagi caruman KWAN.
Hussin menegaskan pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu dan negeri-negeri berkaitan perlu dibuat mengikut jadual, termasuk dua kali setahun seperti dijanjikan, agar negeri mempunyai aliran tunai yang boleh diramal untuk perancangan pembangunan.
Katanya, pematuhan terhadap janji pembayaran bukan sahaja penting kepada negeri, malah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara serta mengurangkan polemik politik yang berulang.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Federalisme Fiskal Malaysia yang menghimpunkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan dasar pengagihan hasil petroleum, mineral, REE, karbon dan sumber asli lain.
Menurutnya, mekanisme tetap itu boleh memperkukuh hubungan fiskal Persekutuan-negeri, menjadikan negeri rakan strategik dan membolehkan KWAN menjadi simbol perkongsian kekayaan negara.
Norway sebagai penanda aras
Dalam pada itu, beliau mencadangkan model Norway Sovereign Wealth Fund dijadikan penanda aras dalam memperkukuh KWAN.
Katanya, dana kekayaan berdaulat Norway yang diputuskan penubuhannya pada 1990 dan bermula pada 1996 dengan modal sekitar 1.9 bilion krone Norway kini mempunyai aset kira-kira 20 trilion krone Norway, bersamaan sekitar 1.8 trilion Dolar Amerika atau RM8.01 trilion.
Dana itu katanya, mempunyai pegangan sekitar 1.5 peratus saham syarikat tersenarai dunia dan melabur di 70 negara.
Beliau berkata, kejayaan Norway didorong oleh ketiadaan campur tangan politik harian dalam keputusan pelaburan, pendedahan pelaburan kepada umum, laporan kepada Parlimen, audit bebas berkala, kod pelaburan ketat serta pemantauan bank pusat.
Hussin berkata Menteri Besar Terengganu juga pernah ke Norway bagi mengkaji model tersebut dan mengisytiharkan hasrat menubuhkan Terengganu Sovereign Wealth Fund.
“Namun usaha itu memerlukan penyelesaian segera isu pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu supaya negeri mempunyai sumber kukuh untuk membina dana masa depannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











