Tekad mahu lihat setiap rakyat Kedah miliki tanah sendiri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan impiannya untuk melihat setiap rakyat yang tidak memiliki tanah sendiri akan memperolehinya suatu hari nanti.

- Advertisement -

Pada masa yang sama, beliau turut berusaha memastikan generasi muda dan akan datang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan mereka yang lebih baik.

Beliau berkata, pemilikan tanah yang sah bukan sahaja memberikan tempat berteduh dan aset boleh diwariskan kepada anak-anak, malah pendidikan merupakan kunci untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta membangunkan negeri secara menyeluruh.

“Kedua-dua agenda ini menjadi antara keutamaan pentadbiran kami kerana kita mahu setiap rakyat Kedah bukan sahaja mempunyai hak milik tanah yang sah, bahkan menikmati peluang pendidikan terbaik sehingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, kebanyakan tanah yang diteroka sejak 20 hingga 25 tahun lalu di negeri berkenaan melibatkan golongan kurang berkemampuan yang kehilangan tempat tinggal akibat pembangunan pesat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mendedahkan, mereka itu kemudiannya meneroka tanah begitu sahaja tanpa mempunyai geran tanah yang sah.

Tambah beliau, mereka akhirnya membina kehidupan di kawasan berkenaan, namun selepas berpuluh-puluh tahun, permohonan hak milik tanah masih belum diselesaikan.

“Pada pandangan saya, apa juga keadaannya, mereka perlu diberikan geran atau hak milik tanah.

“Sekurang-kurangnya tapak rumah yang mereka diami mempunyai hak milik yang sah dan boleh diwariskan kepada anak-anak,” katanya menerusi Podcast Tanpa Studio yang diterbitkan Kedah Online.

Beliau berkata, usaha menyelesaikan isu pemilikan tanah rakyat menjadi antara agenda terbesar yang diperjuangkannya dan sebahagian besar daripadanya telah berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa perkara belum selesai, termasuk melibatkan kira-kira 160 lot tanah di Pering yang telah dikeluarkan Notis Borang 5A tetapi pemiliknya masih belum menjelaskan bayaran premium.

Menurutnya, kadar premium dikenakan sebenarnya tidak tinggi, namun terdapat pemilik yang tidak mampu menjelaskan bayaran tersebut.

“Saya menegaskan kepada pegawai supaya mencari kaedah terbaik bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan membayar premium tersebut.

“Itulah tugas pegawai, iaitu memikirkan penyelesaian dan melaksanakan dasar yang membolehkan rakyat memiliki tanah secara sah,” katanya.

Beliau berkata, antara pengalaman yang paling menyentuh hati ialah melihat kegembiraan rakyat yang akhirnya memperoleh hak milik tanah selepas menunggu hampir 30 tahun.

Katanya, ada keluarga yang menunggu sehingga tiga generasi apabila datuk dan nenek serta ibu bapa mereka mengusahakan tanah berkenaan, namun akhirnya geran diserahkan kepada generasi cucu setelah mereka meninggal dunia.

“Saya melihat sendiri kegembiraan mereka kerana perkara yang selama ini disangka tidak akan menjadi kenyataan akhirnya terlaksana.

“Ramai menceritakan datuk dan ibu bapa mereka tidak sempat melihat tanah itu menjadi milik keluarga, namun mereka bersyukur kerana akhirnya hak tersebut diperoleh,” ujarnya.

Beliau berkata, kebanyakan penerima geran terdiri daripada generasi ketiga dalam keluarga, manakala ibu bapa mereka kini sudah lanjut usia.

Menurutnya, usaha membantu rakyat memiliki tanah secara sah termasuk membantu golongan muda untuk sambung belajar, membawa keberkatan yang bukan sahaja dirasai oleh penerima, malah turut memberi kesan positif kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan ke Kedah juga berjalan dengan baik dan percaya keadaan itu merupakan antara keberkatan hasil memudahkan urusan rakyat.

“Bukan kerana kita terlalu bijak dalam mentadbir negeri, tidak, sebaliknya kerana keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

“Apabila kita berbuat baik kepada orang lain, Allah SWT akan membalasnya dengan kebaikan yang lebih besar,” kata Sanusi lagi.

Beliau seterusnya menambah kata, apabila sesebuah keluarga memperoleh kebahagiaan hasil bantuan yang diberikan, Allah SWT mengurniakan keberkatan dan nikmat melimpah kepada rakyat dan negeri.

“Kita berbuat sedikit kebaikan, namun balasan daripada Allah SWT amat besar kerana Allah Maha Kaya. Itulah yang saya percaya menjadi antara sebab orang semakin terbuka untuk datang dan melabur di Kedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -