PRN N9: PH semakin lama kian terdesak – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) dijangka mampu memenangi antara 23 hingga 24 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan beberapa analisis yang dikeluarkan sebelum hari pengundian.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan, beberapa kajian termasuk oleh Ong Kian Ming dan Ilham Centre mempunyai pandangan sama bahawa PN dan BN akan memperoleh jumlah kerusi berkenaan.

“Sebagaimana kita tahu bahawa sebelum mana-mana pilihan raya, tiga hari sebelum itu, ‘research house’ ini akan keluarkan masing-masing analisis.

“Kita melihat bahawa kesemuanya mempunyai satu pandangan yang sama bahawa PN dan BN insya-Allah akan memenangi Pilihan Raya Negeri Sembilan.

“(PH-BN akan memenangi) dengan angka kerusi 23 ke 24 kerusi, manakala PH akan menang lebih kurang dalam 11 ke 12 kerusi,” ulas beliau dalam satu video di TikTok.

Beliau menjelaskan, lonjakan sokongan berkenaan bukan sesuatu yang menghairankan berdasarkan gerak kerja kempen dilakukan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di mana-mana sahaja kita melihat bahawa gerak kerja kempen apabila kita turun ke bawah dan kita tengok setiap DUN yang kita pergi.

“Sama ada DUN yang telah dimenangi oleh PN ataupun BN yang jumlahnya lebih kurang 14 campur 5, 19 kerusi sangat-sangat alhamdulillah sangat-sangat selesa,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan, terdapat beberapa kerusi lain mempunyai peluang untuk dimenangi, termasuk Chennah yang ditandingi Setiausaha Agung DAP.

“Jadi selesa ataupun keyakinan ini semakin lama semakin memuncak dan PH semakin lama semakin terdesak,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut mengulas perkembangan terkini PRN Negeri Sembilan dengan memaklumkan bahawa proses undi awal sudah berlangsung, manakala pilihan raya negeri itu kini semakin menghampiri kemuncaknya.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah mengeluarkan ‘statement’-nya bahawa peratus yang dah keluar (mengundi), agak (tinggi), lebih 80 peratus.

“Maknanya satu peratusan yang sangat tinggi bagi satu pilihan raya yang bukan merupakan Pilihan Raya Umum,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -

- Advertisement -