Laporan RCI TH perlu dibaca penuh, bukan rumusan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bakal diterbitkan nanti perlu diteliti oleh rakyat secara mendalam  terhadap fakta, bukti dan analisis yang dikemukakan.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan agar orang ramai tidak hanya memberi perhatian kepada tajuk atau rumusan.

Menurutnya, dalam mana-mana siasatan, kekuatan sesuatu dapatan bergantung sepenuhnya kepada bukti yang menyokong, justeru, laporan RCI berkenaan perlu dibaca secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Beliau menggariskan sekurang-kurangnya enam perkara penting yang wajar diberikan perhatian oleh orang ramai apabila laporan berkenaan diterbitkan kelak di mana diura-urakan bakal dibuat pada lewat petang hari ini.

“Pertama, sama ada laporan itu membezakan dengan jelas antara kehilangan wang dan kerugian perakaunan. Dalam dunia kewangan, rosot nilai aset (impairment), kejatuhan harga pasaran atau perubahan kaedah penilaian boleh menyebabkan nilai aset berkurangan.

“Namun keadaan itu tidak semestinya bermaksud wang telah hilang atau berlaku penyelewengan. Kedua, sekiranya terdapat dakwaan penyelewengan, laporan itu sewajarnya menunjukkan siapa yang mendapat manfaat daripada transaksi berkenaan.

“Sesebuah penyiasatan kewangan bukan sekadar menyatakan jumlah kerugian, malah perlu menjelaskan aliran wang, transaksi yang berlaku, pihak yang menerima manfaat serta kaitan antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Ahmad Marzuk menambah, perkara ketiga perlu difahami adalah fungsi RCI itu sendiri yang terhad kepada menyiasat, menentukan fakta, dan mengemukakan syor, bukannya membuat sabitan jenayah.

Penentuan kesalahan jenayah memerlukan siasatan lanjut oleh agensi penguat kuasa dan perlu diputuskan oleh mahkamah mengikut proses perundangan.

Mengulas perkara keempat, beliau menegaskan sekiranya laporan menyentuh perbezaan antara dapatan Ketua Audit Negara dan penilaian firma audit antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC), faktor yang menyebabkan perbezaan itu wajar diterangkan secara jelas.

“Perbezaan itu mungkin berpunca daripada penggunaan piawaian perakaunan yang berbeza, kaedah penilaian, definisi aset boleh direalisasikan atau faktor teknikal lain.

“Perbezaan angka semata-mata tidak semestinya membuktikan berlaku penipuan atau penyelewengan tanpa disokong bukti yang mencukupi.

“Kelima, sekiranya perkara-perkara berkaitan berada dalam terma rujukan RCI, keseluruhan kronologi yang menjadi skop siasatan wajar dinilai secara menyeluruh.

“Ini termasuk penstrukturan semula Tabung Haji, pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), penilaian aset yang dipindahkan serta struktur sukuk yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada keseluruhan kronologi,” jelas beliau.

Bagi perkara keenam, beliau menekankan bahawa rakyat berhak mengetahui tindakan susulan yang telah diambil oleh kerajaan selepas laporan RCI berkenaan disiapkan.

“Sekiranya laporan itu telah berada dalam pengetahuan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, orang ramai wajar dimaklumkan sama ada dapatan tersebut telah membawa kepada tindakan dalaman, penambahbaikan tadbir urus, siasatan lanjut atau dirujuk kepada agensi penguat kuasa.

“Jika belum ada tindakan yang diambil, penjelasan mengenainya juga penting supaya rakyat memperoleh gambaran yang lengkap. RCI bukan sekadar menghasilkan laporan, tetapi sepatutnya menjadi asas kepada tindakan, pembaharuan dan penambahbaikan institusi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa laporan RCI sewajarnya membantu rakyat memahami perkara sebenar yang berlaku, bukannya sekadar mengukuhkan persepsi sedia ada.

“Prinsip asas keadilan menuntut setiap dapatan disokong oleh bukti yang mencukupi. Semakin besar sesuatu dakwaan, semakin tinggi juga standard pembuktian yang sewajarnya menyokong dakwaan tersebut.

“Oleh itu, apabila laporan RCI diterbitkan nanti, bacalah keseluruhan laporan, bukan sekadar tajuk atau rumusannya. Nilailah bagaimana sesuatu kesimpulan itu dibina, kerana di situlah terletaknya kekuatan atau kelemahan sesuatu penyiasatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -