Rundingan jalan penyelesaian keamanan berkekalan

Susulan lima anggota separa tentera terkorban di Narathiwat

- Advertisement -

PAS menzahirkan rasa dukacita dan simpati buat Thailand dan warganya berikutan insiden serangan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand yang mengorbankan lima orang anggota separa tentera Thailand serta mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang awam cedera pada hari Rabu yang lalu.

- Advertisement -

Perkembangan semasa pergolakan di selatan Thailand ketika ini amat menyedihkan dan berharap agar pihak-pihak yang berwajib dan berkepentingan segera meredakan keadaan supaya ia tidak berlarutan dan menjejaskan keamanan dan keselamatan orang awam di selatan Thailand. Serangan-serangan ke atas orang awam juga adalah bercanggah dengan syariat Islam seperti kanak-kanak, warga emas dan juga ke atas orang yang tidak bersalah.

Adalah menjadi harapan agar ianya dapat diselesaikan secara diplomasi melalui rundingan agar satu solusi terbaik dapat dikenal pasti dan dilaksanakan untuk menghentikan secara kekal konflik yang telah berlarutan sekian lama ini demi maslahah sejagat dan Thailand secara amnya.

Dalam pada itu, pihak-pihak yang berwajib dan berkepentingan yang berusaha mencari penyelesaian dan solusi konflik di selatan Thailand perlu berwaspada dengan percaturan pihak-pihak luar mahupun campurtangan asing yang tidak mahu hadirnya penyelesaian kekal secara diplomasi untuk agenda dan kepentingan mereka.

Semoga Thailand dan warganya kekal tabah dan tenang serta didoakan agar konflik di selatan Thailand dapat diselesaikan secara aman dan toleransi demi keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang berkekalan.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
10 Safar 1448H / 26 Julai 2026

HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -