
KADANG-KADANG, yang mengajar kita tentang prinsip bukan orang yang sudah berpuluh tahun memegang jawatan. Sebaliknya, anak muda yang usianya baru setahun jagung.
Muhammad Hakim Danish Ramli, 18 membuktikannya. Di pentas yang menjadi impian ramai pelumba dunia, selepas meraih podium sulung Moto3 Grand Prix Itali, beliau memilih untuk beredar lebih awal.
Bukan kerana merajuk. Bukan juga kerana sombong. Beliau cuma tidak mahu menjadi sebahagian daripada tradisi semburan ‘champagne‘.
Mudah. Ringkas. Tetapi besar maknanya.
Di pentas antarabangsa, disaksikan jutaan penonton, anak kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu tidak berasa perlu mengorbankan pegangan hanya kerana ‘itulah adat di sana’.
Ironinya, ada pula dalam negara sendiri yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan penyajian arak atas nama meraikan tetamu.
Masih segar isu majlis gala Global Travel Meet 2025 apabila hidangan minuman beralkohol dipertahankan dengan alasan ditaja pihak industri dan sebagai meraikan rakan antarabangsa.
Seolah-olah layanan bertaraf dunia hanya lengkap jika ada botol arak di atas meja. Entah sejak bila keramahan rakyat Malaysia diukur dengan kandungan alkohol dalam gelas.
Malaysia selama ini dikenali kerana kepelbagaian budaya, makanan dan layanan mesra rakyatnya. Bukan kerana kemampuan menyediakan minuman keras dalam setiap majlis rasmi.
Hakim Danish tidak bising. Tidak berucap panjang. Tidak menghukum sesiapa. Beliau hanya memilih untuk tidak menyertainya.
Itulah bezanya prinsip dengan alasan. Kadang-kadang satu tindakan lebih kuat daripada seribu kenyataan media.
Yang menariknya, masyarakat antarabangsa tetap menghormati beliau. Tiada kekecohan. Tiada kontroversi besar. Tiada siapa memaksa beliau menyembur ‘champagne‘ semata-mata untuk kelihatan ‘sporting‘.
Rupanya dunia boleh menerima pendirian seseorang. Yang sukar menerima, kadang-kadang orang kita sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya sebahagian orang dewasa belajar daripada anak Terengganu ini.
Tidak semua perkara yang dianggap tradisi perlu diturut. Tidak semua cara meraikan kemenangan atau meraikan tetamu memerlukan arak.
Kalau seorang remaja berusia 18 tahun mampu mempertahankan prinsip di pentas dunia, rasanya tidak mustahil orang yang lebih berusia dan berjawatan mempertahankan identiti negara sendiri.
Kerana maruah dan prinsip tidak pernah memerlukan ‘champagne’ untuk diraikan.
– HARAKAHDAILY 27/7/2026











