
SEREMBAN: Calon PN DUN N.14 Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek menjadikan kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh sebagai antara tokoh yang memberi inspirasi dalam membentuk kepimpinan dan pembangunan generasi muda.
Mohamad Rafie berkata, kejayaan Muhammad al-Fateh menawan Constantinople pada 1453 menunjukkan kekuatan seorang pemimpin muda dibina melalui pendidikan, ilmu serta pembentukan peribadi yang kukuh.
Beliau menjelaskan, Muhammad al-Fateh bukan sahaja mempunyai kemampuan kepimpinan, malah memiliki penguasaan ilmu yang tinggi termasuk menguasai beberapa bahasa serta tidak mengabaikan aspek ibadah.
“Kalau saya melihat antara tokoh besar mungkin tokoh anak muda yang berjaya membuat perubahan pada tahun 1453, Muhammad al-Fateh bagaimana membuat perubahan sehingga boleh mengalahkan sebuah kerajaan besar Constantinople yang boleh jatuh.
“Tetapi kita melihat bagaimana kekuatan yang dibina oleh Muhammad al-Fateh selaku orang muda dari segi pendidikannya, di mana beliau boleh menguasai hingga enam bahasa, mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang sangat baik.
“Orang yang tidak melupai ibadat termasuk amalan ibadat sunat yang akhirnya melahirkan seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang,” ujarnya.
Mantan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily di Surau Al-Fatihin, Taman Dusun Nyior, di sini baru-baru ini.
Mohamad Rafie berpandangan, pembangunan pendidikan dan pembentukan sahsiah diri perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi muda yang mampu membawa perubahan besar.
Menurut beliau, anak muda perlu diberi peluang untuk membina kekuatan ilmu berkaitan alam dan kehidupan selain membentuk peribadi yang baik.
“Sebab itu saya melihat untuk masa sekarang ini pun kita ingin membawa lebih ramai anak-anak muda dalam konteks kita. Anak-anak muda perlu diberi peluang untuk memastikan negara akan menjadi lebih baik.
“Saya menyeru untuk anak-anak muda belajar melihat bagaimana pembangunan perwatakan, akhlak dan peribadi Muhammad al-Fateh. Bagaimana empayar Uthmaniah diwujudkan ketika itu,” serunya.
Beliau menegaskan, pendidikan menjadi asas penting dalam mencapai kejayaan selain memerlukan disiplin, keikhlasan dan memahami tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
“Saya berkeyakinan insya-Allah untuk menjadi orang yang berjaya seperti Muhammad al-Fateh, asasnya ialah pendidikan, asasnya ialah keikhlasan, asasnya ialah untuk kita sebenarnya kembali kepada tugasan yang diberi oleh Allah sebagai khalifah di permukaan bumi ini,” jelasnya.
Dekati masyarakat melalui masjid, surau
Sementara itu, Mohamad Rafie memaklumkan, beliau gemar mendekati masyarakat khususnya melalui kunjungan ke masjid dan surau bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk.
Doktor Falsafah (PhD) bidang pendidikan Universiti Selangor itu berkata, pendekatan bersama masyarakat membolehkan beliau memahami keperluan rakyat serta mengambil tindakan bagi membantu memperbaiki keadaan.
“Saya umumnya amat senang bersama dengan masyarakat dan saya kebiasaannya apabila saya menziarahi surau-surau ataupun di masjid-masjid, saya juga mengambil kesempatan untuk mendengar masalah-masalah yang mereka hadapi.
“Dan saya berusaha kemudian mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan,” kata calon nombor tiga itu turut menegaskan, pemimpin perlu sentiasa bersama rakyat dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi masyarakat.
“Pemimpin perlu bersama dengan rakyat. Zaman di mana seolah-olah pemimpin tidak kelihatan, pemimpin hanya turun pada masa-masa tertentu tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, beliau terus berada bersama masyarakat di Ampangan sejak dahulu termasuk selepas tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Sebab itu saya kekal sejak daripada mula untuk berada di Ampangan, di surau, di masjid. Itu walaupun saya bukan lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Sebab itu saya boleh melihat sendiri apa yang berlaku dalam masyarakat dan lebih mudah untuk kita mengatur langkah bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, bagaimana untuk meningkatkan ekonomi kawasan,” katanya.
Berkebun selepas tidak lagi dalam politik
Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkongsi bahawa selepas tidak lagi berada dalam kerajaan dan politik pada 2023, beliau mengisi masa dengan aktiviti berkebun di rumah.
Beliau memaklumkan, antara aktiviti yang dilakukan termasuk menternak ayam telur serta menanam sayur menggunakan kaedah yang pernah diperkenalkan ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Semasa setelah saya tidak lagi dalam kerajaan, tidak dalam politik pada 2023, saya turun berkebun. Di rumah saya sekarang ini bela ayam telur, tidak banyak, ada 10 hingga 15 ekor. Tapi alhamdulillah kalau telur itu cukup makanlah.
“Dan saya ada tanaman sayur yang saya sebut di rumah saya sendiri,” kongsi beliau.
Mohamad Rafie menjelaskan, usaha itu dilakukan sebagai bukti bahawa perkara yang disarankan kepada masyarakat turut dilaksanakan oleh dirinya sendiri.
“Saya bukan hanya setakat berkata bercakap dengan orang gunakan hidroponik untuk sayuran. Saya sendiri buat (teknik tersebut). Maknanya itu ada.
“Sebab itu saya senang sekali, apatah lagi bila cucu-cucu saya kembali, ada perkara-perkara seperti ini yang mencorakkan kehidupan saya dalam masa ketika itu,” katanya.
Pengundi matang buat keputusan tepat
Sementara itu, Mohamad Rafie menyeru pengundi supaya membuat penilaian secara teliti dan memilih berdasarkan pertimbangan yang benar serta jujur pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Beliau berpandangan, rakyat kini matang untuk menilai pilihan terbaik bagi menentukan masa depan Ampangan, Negeri Sembilan dan negara.
“Saya fahami bahawa rakyat, pengundi-pengundi sudah matang. Mereka boleh menganalisa apa yang terbaik untuk diri mereka.
“Saya mengharapkan mereka melihat ini secara teliti dan membuat keputusan berdasarkan kepada penilaian berkenaan secara benar, secara jujur,” harapnya.
Beliau yakin rakyat Ampangan dan Negeri Sembilan mampu membuat keputusan yang tepat dalam menentukan hala tuju kawasan serta negeri.
“Insya-Allah mereka akan boleh membawa pemilihan yang tepat semasa 1 Ogos nanti. Kerana itu akan menentukan bagaimana kedudukan Ampangan, bagaimana kedudukan Negeri Sembilan dan akhirnya juga akan mencorakkan bagaimana keadaan negara pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











