
SEREMBAN: Penyatuan politik antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan berpotensi membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga, sekali gus menjadi pemangkin kepada perubahan politik negara menuju Putrajaya.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sekiranya kerjasama itu diterjemahkan menerusi sokongan rakyat pada hari pengundian, Negeri Sembilan mampu mencipta sejarah sebagai negeri yang memulakan model penyatuan politik membabitkan parti Melayu dan bukan-Melayu.
“Kita harapkan penyatuan ini berlaku. ‘On paper’, insya-Allah kita dapat bentuk kerajaan, bukan sekadar majoriti mudah, bahkan dengan izin Allah majoriti dua pertiga.
“Selepas ini pula kita menuju ke Putrajaya. Negeri Sembilan akan menjadi contoh politik penyatuan dan persefahaman antara parti Melayu serta parti bukan Melayu untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, penyatuan merupakan tuntutan yang membawa rahmat, manakala perpecahan hanya mengundang kelemahan sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa berjemaah membawa rahmat, manakala perpecahan membawa azab.
“Saya yakin Allah SWT masih menyayangi negara ini kerana masih ada orang yang ikhlas beribadah, masih ada surau dan masjid yang diimarahkan, selain sekolah tahfiz dan pondok yang menjadi benteng kepada negara,” ujarnya.
Mengulas landskap politik negara, Idris berkata masyarakat majmuk serta kedudukan orang Melayu sebagai teras politik Malaysia perlu diurus dengan bijaksana bagi menjamin kestabilan negara.
Katanya, perkara itu bukan bersandarkan semangat perkauman sempit, sebaliknya mengambil kira realiti sejarah dan kontrak sosial yang dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan.
Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu merupakan asas yang telah dipersetujui semua pihak.
“Ini bukan asabiah yang dilarang Islam. Asabiah yang dilarang ialah membela kezaliman semata-mata kerana bangsa. Kita bercakap dalam kerangka sejarah dan kontrak sosial negara yang perlu dihormati semua pihak,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik tindakan pemimpin DAP dan PKR yang dikatakan menyerang Umno sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor walaupun berada dalam kerajaan sama.
Katanya, tindakan itu menunjukkan sikap tidak mengenang jasa kerana Umno menjadi antara pihak yang membolehkan mereka membentuk kerajaan serta memegang jawatan penting.
Sebaliknya beliau berkata, PN mengambil pendekatan berbeza apabila mengarahkan penceramahnya menumpukan kritikan terhadap PH walaupun bertanding menentang calon BN di beberapa kerusi.
Idris turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah mempercayai janji PH yang menurutnya masih banyak belum ditunaikan sejak mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Beliau membangkitkan beberapa manifesto termasuk pemansuhan tol, pemansuhan pinjaman PTPTN, penurunan harga kereta, pemansuhan AES, penurunan harga petrol, pemansuhan Akta Hasutan serta janji Perdana Menteri tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.
“Janji dahulu pun belum ditunaikan. Sebab itu sebelum percaya janji baharu, tanya dahulu mana janji lama yang telah dilaksanakan,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut membangkitkan isu kerugian pelaburan melibatkan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang mencecah RM200 juta akibat penipuan.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai proses semakan dan tadbir urus sebelum sesuatu pelaburan dibuat memandangkan kerajaan mempunyai pelbagai agensi serta pegawai berpengalaman dalam bidang kewangan dan pelaburan.
Menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Idris berkata beliau diamanahkan parti untuk meneliti manifesto bersama pimpinan BN negeri.
Menurutnya, kedua-dua pihak mendapati kandungan manifesto masing-masing mempunyai banyak persamaan sebelum beberapa penambahbaikan dibuat menerusi lampiran tambahan.
“Manifesto yang kita (PN) buat lebih kurang sama dengan yang BN siapkan. Ada beberapa perkara yang ditambah melalui lampiran. Ini menunjukkan persefahaman yang sedang dibina,” jelasnya.
Beliau turut menyeru penyokong supaya memastikan ahli keluarga, khususnya anak-anak yang berada di luar kawasan, pulang mengundi bagi menjayakan perubahan politik di Negeri Sembilan.
Katanya, pengundi muda merupakan faktor penting yang mampu menentukan hala tuju negeri itu.
“Jangan bazirkan undi. Anak anak muda ialah penyumbang kepada perubahan politik Negeri Sembilan.
“Kita berjuang bukan untuk masa depan pemimpin yang kebanyakannya sudah berusia, tetapi untuk masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita yang akan hidup puluhan tahun lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026











