Anwar umum naik SARA ketika kempen PRN N9 dipersoal

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuka siasatan terhadap pengumuman kenaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menyifatkan tindakan ketika siri Jelajah Kekal Harapan di Paroi itu bercanggah dengan larangan mengumumkan sebarang peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon.

Beliau berkata, pengumuman tersebut menimbulkan persoalan terhadap konsistensi kerajaan kerana Perdana Menteri sendiri sebelum ini menegaskan larangan berkenaan masih berkuat kuasa.

Menurut beliau, dalam Sidang Dewan Rakyat pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengumumkan sebarang peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil dan telus.

“Namun, ketika berucap dalam siri Jelajah Kekal Harapan di Paroi baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan SARA kepada rakyat.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar berpegang kepada prinsip yang ditegaskan sendiri atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Muhammad Faizzuddin berkata, berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengumuman bantuan atau insentif ketika tempoh berkempen boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘gula-gula politik’ yang berpotensi mempengaruhi pengundi melalui penggunaan kedudukan kerajaan.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai amalan ‘cakap tidak serupa bikin’ yang menurutnya semakin menyerlahkan hipokrasi politik PH, khususnya PKR dan DAP.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak mempertikaikan keperluan kerajaan membantu rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Malah, setiap inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat wajar disokong. Namun, waktu dan platform pengumuman mestilah tidak bercanggah dengan janji kerajaan sendiri serta undang-undang dan peraturan pilihan raya yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPR membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, tindakan tegas SPR amat penting bagi memastikan setiap proses pilihan raya berlangsung secara bebas, bersih dan berintegriti, sekali gus memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

“Rakyat berhak menerima bantuan daripada kerajaan, namun pada masa yang sama mereka juga berhak melalui proses demokrasi yang bersih, adil dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Undang-undang pilihan raya mesti dikuatkuasakan secara saksama tanpa mengira jawatan atau kedudukan mana-mana pihak demi memastikan integriti pilihan raya terus dipelihara,” katanya. – *HARAKAHDAILY 26/7/2026*

- Advertisement -