Mahadzir yakin BN-PN mampu ubah Negeri Sembilan

- Advertisement -

SEREMBAN: Persefahaman antara BN dan PN di Negeri Sembilan bukan sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya bertujuan membentuk kerajaan yang mampu mempertahankan asas Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Diraja Mahadzir Khalid berkata, jalinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) itu juga adalah demi membela rakyat serta merancang masa depan negara.

Beliau berkata, persefahaman yang dicapai membuktikan politik sentiasa bersifat dinamik dan setiap kerjasama perlu diterjemahkan kepada kemenangan demi kepentingan rakyat.

“Berbohonglah kalau parti politik yang ditubuhkan itu tidak mahu berkuasa sama ada di negeri atau di negara. Matlamat parti politik ialah memperoleh kemenangan dalam pilihan raya supaya dapat membentuk kerajaan.

“Semua parti melakukan kerja kebajikan, namun akhirnya kuasa pemerintahan diperlukan bagi melaksanakan dasar dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad bersama pimpinan BN, PN serta calon yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

Mahadzir berkata, negara yang berbilang kaum memerlukan sebuah kerajaan yang menghormati perkara asas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, empat perkara dipersetujui sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera mesti terus dipelihara oleh mana-mana kerajaan.

“Siapa sahaja yang berkuasa mesti menghormati perkara ini kerana ia telah dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau menegaskan kerjasama BN dan PN yang menghimpunkan Umno serta PAS tidak bermaksud mengabaikan masyarakat bukan-Melayu.

“Umno telah terbukti lebih 50 tahun memerintah negara tanpa meninggalkan mana-mana kaum. Begitu juga apabila BN berkawan dengan PN, bukan bermakna kita hendak meninggalkan kaum lain,” jelasnya.

Mengulas pembahagian kerusi, beliau berkata, BN akan bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PN di 11 kerusi sebagai manifestasi persefahaman antara kedua-dua gabungan.

Katanya, penyokong kedua-dua pihak perlu memberikan sokongan penuh kepada semua calon yang dipersetujui bagi memastikan kemenangan gabungan itu.

Mahadzir turut berkata, kerajaan bakal dibentuk perlu mempunyai visi jangka panjang terutama dalam memenuhi keperluan generasi muda yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi dan ekonomi digital.

Menurutnya, dasar kerajaan perlu disesuaikan dengan realiti semasa termasuk menyediakan kemudahan internet yang lebih baik serta mampu dimiliki rakyat.

Beliau berkata, pengalaman pentadbiran yang dimiliki pimpinan BN dan PN memberi keyakinan bahawa gabungan itu mampu menawarkan dasar pembangunan lebih menyeluruh kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

“Kita berharap gabungan dan persefahaman ini diterjemahkan dalam bentuk undi di setiap kawasan. BN bagi kepada PN, PN bagi kepada BN,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2026

- Advertisement -