Tangani isu setinggan di Karambunai

Datuk Dr. Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa membangunkan Kompleks Perumahan Rakyat di Karambunai bagi menangani isu penempatan setinggan yang berlarutan sejak puluhan tahun, khususnya melibatkan penduduk berstatus warganegara.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, persepsi bahawa semua penduduk kawasan setinggan terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) perlu diperbetulkan kerana sebahagian daripada mereka merupakan warganegara.

“Bukan semua penduduk setinggan merupakan PATI, sebaliknya terdapat warganegara yang turut menetap di kawasan berkenaan dan mereka juga berhak menikmati kemudahan asas seperti air, elektrik serta jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan pada Persidangan DUN Sabah, di sini kelmarin.

Tambahnya, pengurusan penempatan yang tidak dilaksanakan secara sistematik menyebabkan sebahagian warganegara bercampur dengan PATI, malah terdapat keadaan pendatang asing memperoleh kemudahan tertentu lebih mudah berbanding penduduk tempatan.

“Saya berpandangan kerajaan perlu menyediakan pelan strategik yang benar-benar tuntas kerana isu puluhan koloni setinggan di Karambunai telah dibangkitkan sejak sekian lama tanpa penyelesaian menyeluruh,” ujarnya

Selain itu, ujarnya pertambahan penempatan yang semakin ketara bersama masalah kemudahan asas yang berlarutan perlu ditangani segera, terutama selepas tragedi kehilangan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun minggu lalu.

“Adakah kita yakin kehidupan penduduk sentiasa selamat daripada kejadian seumpama itu, sedangkan masalah penempatan dan kemudahan asas masih belum diselesaikan secara menyeluruh,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Dr Aliakbar turut meminta kerajaan mempertimbangkan pemasangan lampu solar berkualiti sepanjang jalan Gentisan menuju ke Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan masalah kecurian kabel.

“Jalan berkenaan antara kawasan yang sangat gelap dan mempunyai penempatan padat, justeru kerajaan perlu memastikan pencahayaan mencukupi supaya keselamatan penduduk tidak terus terjejas,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan melaksanakan kerja pembesaran, pengorekan dan penyelenggaraan berkala Sungai Timbok, Telipok kerana kawasan terbabit mudah dinaiki air walaupun ketika hujan tidak terlalu lebat.

“Keadaan banjir turut menjejaskan peniaga kecil apabila mesin dan peralatan mereka rosak, maka tindakan segera perlu dilaksanakan bagi memperbaiki sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir berulang,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan pelan penyelesaian yang menyeluruh melibatkan isu perumahan, kemudahan asas, keselamatan dan saliran supaya masalah penduduk Karambunai tidak terus berlarutan. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -