PN, BN telah buat keputusan yang sangat ‘luar biasa’

Kerajaan Anwar menyimpang, negara di persimpangan

- Advertisement -

SEREMBAN: Keputusan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) berganding bahu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai satu keputusan luar biasa yang menuntut komitmen luar biasa daripada seluruh jentera serta rakyat.

Mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, kerjasama itu lahir ketika negara berada pada persimpangan penting yang memerlukan tindakan berani demi mempertahankan masa depan negara.

- Advertisement -

“Kita panjatkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) kerana membuat satu keputusan yang luar biasa. Sekarang tugas kita pula.

“Jentera mesti bekerja luar biasa, persefahaman mesti luar biasa dan pengundi juga perlu membuat keputusan yang luar biasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN dan BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, kelmarin.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana kedua-dua pihak perlu mengetepikan pelbagai perbezaan demi kepentingan negara.

Menurutnya, pengalaman turun berkempen di Paroi menunjukkan semangat kerjasama antara penyokong PN dan BN semakin kukuh apabila kedua-dua pihak bergerak seiring menghadapi Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah di Paroi kita lihat kawan kawan Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) semuanya seiring sejalan. Tetapi itu belum cukup. Kita mesti tingkatkan lagi usaha ini sehingga sampai kepada setiap pengundi,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Mohamad Ezam turut mengimbau pengalaman lebih dua dekad bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum meninggalkan PKR.

Anwar abai tunjang Melayu-Islam

Beliau pernah dihantar ke Turkiye selama lima minggu bagi mempelajari pengalaman politik negara itu, termasuk model kerjasama antara kelompok Islamis dan modernis yang dikaitkan dengan kepimpinan Recep Tayyip Erdoğan.

Sekembalinya dari Turkiye sekitar tahun 2004, beliau mencadangkan kepada Anwar supaya PKR menjalinkan kerjasama dengan PAS sebelum mendekati Umno bagi memperkukuhkan kedudukan politik Melayu-Islam sebagai asas kestabilan negara.

Namun, cadangan itu ditolak kerana Anwar lebih cenderung memberi tumpuan kepada strategi mendapatkan sokongan besar pengundi bukan-Melayu sebagai laluan memperoleh kuasa politik.

Beliau berkata pendekatan tersebut akhirnya membawa kepada kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila lima negeri berjaya ditawan.

Namun kata Ezam, pilihan Anwar tersebut telah melemahkan tunjang politik Melayu-Islam yang menurutnya menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Politik Melayu-Islam bukan soal perkauman, tetapi merupakan asas kepada pembinaan negara berdasarkan Perlembagaan. Sebab itu kita perlu memperkukuhkan semula tunjang tersebut,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, hubungan kerajaan dengan DAP serta beberapa isu lain yang menurutnya menunjukkan kerajaan hari ini telah menyimpang daripada asas pembinaan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh penyokong PN dan BN memastikan proses pemindahan undi berjalan lancar di samping memberi tumpuan kepada usaha membawa seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

Katanya, cabaran terbesar bukan lagi pemindahan undi antara penyokong kedua-dua gabungan, sebaliknya memastikan mereka yang sebelum ini tidak keluar mengundi tampil berbuat demikian.

“Ini bukan soal Umno bukan soal PAS, bukan soal PERIKATAN NASIONAL (PN) atau Barisan Nasional (BN). Ini soal negeri kita dan negara kita. Yang tidak biasa mengundi mesti turun mengundi kali ini kerana kita berada pada zaman dan pertembungan yang luar biasa,” tegasnya.

Beliau turut menyeru rakyat Negeri Sembilan memberi kemenangan kepada calon PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 ini.

“Jentera mesti bangkit hebat, panggil pengundi membuat keputusan yang luar biasa. Angkat dan menangkan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan serta tumbangkan PH, insya Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026

- Advertisement -