
SEREMBAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Dato’ Dr Muhamad Rafie Ab Malik melihat sambutan masyarakat terhadap kempen Gelombang Biru semakin positif.
Beliau malah menjawab dakwaan pertukaran cuti mingguan Negeri Sembilan kepada Jumaat dan Sabtu sedang dimainkan pihak lawan adalah sebagai taktik untuk menakutkan pengundi.
Beliau berkata, selepas lima hari tempoh berkempen bermula sebaik selesai proses penamaan calon, maklum balas yang diterima daripada masyarakat memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap PN semakin meningkat.
“Alhamdulillah, pada hari ini sudah lima hari selepas penamaan calon. Saya melihat respons masyarakat sangat positif terhadap Gelombang Biru yang insyaAllah pada 1 Ogos nanti akan membawa perubahan sehingga kita dapat memimpin Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN dan BN Parlimen Seremban di Markas PAS Seremban, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, terdapat pihak tertentu menyebarkan maklumat tidak benar bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi, khususnya masyarakat bukan Melayu.
“Hari ini telah ditularkan yang kononnya jika kerajaan baharu, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama ini wujud di Negeri Sembilan, kononnya kita akan menukar cuti daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu,” ujarnya.
Rafie menegaskan perkara itu tidak berasas kerana tiada sebarang perbincangan di mana-mana peringkat kepimpinan mengenai cadangan menukar hari cuti mingguan.
“Kita nak menyatakan bahawa tidak ada sebarang perbincangan daripada mana-mana peringkat pimpinan untuk menukar tarikh cuti ini,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap pelbagai strategi yang didakwa digunakan bagi menjejaskan sokongan terhadap PN dan BN sepanjang tempoh berkempen.
“Percayalah, insyaAllah kita akan berjaya membuat perubahan selepas 1 Ogos nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026











