Ustaz Fairuz Isa ‘cool and steady’, peribadi disenangi

- Advertisement -

JEMPOL: “Saya kenal ustaz,” demikian pengakuan yang bukanlah sekadar ‘lafaz kosong’ keluar dari bibir seseorang lantaran sudah saling mengenali sosok itu lebih dua dekad lamanya.

Bagi Nadhir Nazeri, 42, pemilihan Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa sebagai calon PERIKATAN (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Serting adalah keputusan tepat.

- Advertisement -

Pemilihan tersebut bagi Nadhir, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dinilai daripada akhlak dan keperibadian baik dimiliki tokoh pemimpin tersebut.

“Dia idola saya. Bukan sebab kedudukan atau jawatan, tetapi kerana akhlaknya. Dia seorang yang ‘cool and steady‘. Walaupun ada perkara dia tidak setuju, dia tidak akan menegur orang di hadapan ramai.

“Dia akan panggil secara peribadi dan menegur dengan penuh hikmah,” ceritanya mengenali keperibadian Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu.

Menurutnya, sifat sabar dan profesional dimiliki pemegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al Azhar Mesir itu menjadi ‘modal’ dakwah utama pemuda kelahiran Batu Kikir tersebut.

“Marah dia tolak tepi. Walaupun ada perkara dia tidak setuju, yang penting masalah mesti diselesaikan secara profesional dan berhikmah,” ujarnya

Akhlak seorang pemimpin ujar Nadhir lagi, bukanlah ‘benda boleh dibuat-buat’ sebaliknya akhlak adalah pakaian yang dipakai sepanjang masa.

“Orang boleh lupa ucapan seorang pemimpin, tetapi mereka tidak akan lupa bagaimana seorang pemimpin melayan mereka,” ujarnya ketika ditemui wartawan di dalam program ziarah mahabbah calon N.05 ke FELDA Raja Alias di sini, semalam.

Ustaz Mohd Fairuz, 49 bakal mempertahankan N.05 Serting selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Muhamad Zamri Omar dengan majoriti 843 undi. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -