Rasulullah, TG Nik Aziz, TG Abdul Hadi inspirasi Kamarol

- Advertisement -

REMBAU: Rasulullah SAW, Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan pemimpin inspirasi kepada Kamarol Ridzuan Md Zain dalam perjuangan politik dan khidmat rakyat beliau.

Calon PERIKATAN (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 itu mahu meneladani Rasulullah dalam amanah, keadilan, kebijaksanaan serta kasih sayang kepada masyarakat.

- Advertisement -

Tuan Guru Nik Aziz yang merupakan bekas Menteri Besar Kelantan pula baginya, mencontohkan kesederhanaan hidup, keikhlasan dalam berkhidmat, keteguhan mempertahankan prinsip serta pendekatan yang banyak mempengaruhi diri beliau.

Menurut Kamarol Ridzuan, perjalanan perjuangan politik bukan hanya berkaitan kedudukan, sebaliknya memerlukan keikhlasan, amanah dan kesungguhan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Katanya, nilai kepimpinan yang ditampilkan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz sentiasa menjadi panduan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Dalam konteks perjuangan PAS, saya banyak mengambil inspirasi daripada Allahyarham Tok Guru,” katanya kepada Harakahdaily berkongsi mengenai tokoh-tokoh yang menjadi sumber inspirasi nya.

Kamarol Ridzuan turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi yang disifatkannya konsisten membawa perjuangan Islam dalam menghadapi perubahan politik negara.

Katanya, nilai-nilai ditunjukkan para tokoh tersebut menjadi asas penting dalam memastikan seseorang pemimpin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Selain tokoh-tokoh besar, saya juga mendapat inspirasi daripada guru-guru, pimpinan terdahulu, rakan seperjuangan dan petugas akar umbi yang bekerja tanpa mengharapkan kedudukan atau ganjaran.

“Rakyat biasa yang tabah menghadapi kesusahan turut menjadi sumber inspirasi dan mengingatkan saya bahawa perjuangan ini mesti sentiasa berpihak kepada mereka yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Mahu sambung khidmat kepada rakyat Paroi

Dalam pada itu, Kamarol Ridzuan berkata, beliau sekali lagi menawarkan diri sebagai calon N.25 Paroi, nombor tiga, dengan membawa pengalaman khidmat selama dua tahun sembilan bulan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.

Beliau berkata, tempoh tersebut memberi ruang untuk beliau memahami denyut nadi rakyat Paroi apabila bersama pasukan turun padang mendengar permasalahan masyarakat, membantu serta berusaha menyelesaikan pelbagai isu mengikut kemampuan dan ruang yang ada.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya sekali lagi diberi peluang untuk menawarkan diri sebagai calon N.25 Paroi, No. 3. Amanah yang pernah diberikan oleh rakyat Paroi selama 2 tahun 9 bulan bukanlah satu tempoh yang saya sia-siakan.

“Bersama pasukan, kami turun padang, mendengar, membantu dan berusaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat mengikut kemampuan dan ruang yang ada,” katanya.

Menurutnya, khidmat kepada rakyat bukan tugas yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan usaha berterusan, kesabaran dan istiqamah.

Katanya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya, tetapi memerlukan komitmen berterusan untuk memahami keperluan masyarakat serta mencari jalan terbaik membantu mereka.

“Saya percaya, khidmat kepada rakyat bukan kerja yang selesai dalam sehari, sebulan atau setahun. Ia adalah usaha yang perlu diteruskan dengan istiqamah,” katanya.

Kamarol Ridzuan berkata, keputusan untuk kembali menawarkan diri sebagai calon bukan semata-mata bagi mendapatkan mandat baharu, sebaliknya untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan bersama rakyat Paroi.

“Sebab itu saya kembali, bukan sekadar meminta mandat, tetapi memohon peluang untuk meneruskan usaha yang telah kita mulakan bersama,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman sebagai ADUN, profesional dan aktivis masyarakat menjadi asas untuk beliau terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Paroi.

Katanya, sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi, beliau akan terus berusaha menjadi wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat, mudah didekati serta bersungguh-sungguh memperjuangkan kebajikan penduduk.

“Insya-Allah, dengan pengalaman sebagai ADUN, profesional dan aktivis masyarakat, saya akan terus berusaha menjadi wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat, mudah didekati dan bersungguh-sungguh memperjuangkan kebajikan warga Paroi,” katanya.

Beliau turut memohon doa, sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga DUN N.25 Paroi bagi membolehkan usaha membangunkan kawasan itu diteruskan.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa, sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga DUN N.25 Paroi.

“Saya Haji Kamarol Ridzuan, calon No. 3. Insya-Allah, kita terus melangkah bersama demi Paroi yang lebih maju, prihatin dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -