
TIBA-tiba kempen PRN di Negeri Sembilan kelihatannya jelas begitu hambar, kurang perasa, tidak menyelerakan. Serinya, soraknya, meriahnya, gahnya, ghaib.
Hanyalah laungan-laungan kecil yang kedengaran sekadar memberitahu bahawa masih ada pihak yang berlawan di sana. Seolah-olah seluruh buana sudah mengerti dan maklum kepada siapa pingat kemenangan PRN ini bakal dikalungkan.
Ya, ia begitu jelas sekali keadaannya. Berbanding suasana ketika PRN Johor dahulu, sebagai pemanas badan kempen, Abang Mat Sabu kita dengan berani dan lantangnya mencabar ‘pihak yang tidak boleh disentuh’ supaya tidak masuk campur dalam politik, begitulah kurang lebih jerkahan beliau.
Kemudian berbagai teori dan analisa sering dikupas bagi dihadam oleh penganalisa dan pengkritik terdiri dari cendekiawan dan juga pemerhati politik, betapa perlunya dilakukan begini dan begitu oleh pengundi di Johor. Terasa bahangnya.
Lebih menghangatkan keadaan apabila isu undi Cina, adakah akan kembali kepada PH atau masih panjang rajukan mereka kerana merasa tertipu dengan PMX yang mereka harapkan akan melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mereka mengecap kemewahan.
PAS mulakan strategi mengejutkan
Dalam kehangatan itu, PAS tiba-tiba mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong mereka di Johor agar memberikan undi mereka kepada BN jika tiada calon dari PN dan PAS. Sindiran dihalakan kepada PAS, buat apa bertanding kalau mahu kalah.
Hasil strategi PAS yang mendukung negeri Melayu Islam ini, lapan kerusi berjaya dirampas BN dari PH. Undi popular BN naik 100 peratus sehingga sejuta undi. PH rebah, tidak bermaya. Namun yang dikutuk dan dihina ialah PAS kerana gagal mempertahankan Maharani.
PAS yang sudah mengumumkan dari awal kempen yang mereka tidak mahu menang itu, ditertawakan musuh, mungkin kerana geram dengan strategi PAS itu. Sedangkan mereka, PH yang melaungkan akan merampas Johor, tetapi tersembam, hilang banyak kerusi langsung tidak rasa malu, tersasar dari sasaran mereka.
Apa yang berlaku di Johor inilah yang mereka rasa semakin sempit dada mereka menghadapi PRN di Negeri Sembilan. Dahulu dengan yakin mereka melaksanakan akta anti lompat parti yang mencegah Kerajaan mereka tumbang.
Walaupun baik dan bagus umumnya dan dipersetujui akta ini dengan lebih dua pertiga, namun apabila ada Ahli Parlimen dari PN melompat dan menyokong mereka kerana dijanjikan peruntukan, ia tidak dibawa kepada akta itu. Namun dinyatakan pula sokongan kepada PH sebagai kerajaan bertambah.
Momentum bertambah di Negeri Sembilan
Apabila di Negeri Sembilan BN memulakan langkah PRN dengan mengumumkan hanya 25 kerusi yang akan mereka bertanding, dan selebihnya akan diberikan kepada kawannya, kem PH menjadi tidak keruan. Dan menjadi lebih cemas kepada mereka apabila disahkan PN lah kawan kepada BN dalam PRN Negeri Sembilan.
Jelas sekali dengan penyatuan ini di atas kertas, beberapa kerusi milik DAP, musuh kepada ramai Melayu Islam bakal bertukar tangan. Bayangan yang amat kuat kekalahan di Johor akan berulang di Negeri Sembilan mula menghantui PH.
Bezanya kali ini, mereka berkemungkinan hilang Kerajaan Negeri berlawanan dengan situasi di Johor yang mereka masih kekal sebagai pembangkang dengan kerusi yang lebih sedikit. Maka kempen mereka menjadi haru-biru.
Tidak tahu bagaimana mahu menyerang. Kalau dahulu mereka menggunakan isu Gelombang Hijau, hudud oleh PAS bagi menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu Islam. Kemudian dicampur dengan isu Najib akan dibebaskan jika BN menang di Johor.
Di mana Dato’ Sri Najib sekarang?
Tetapi PH tidak boleh selamanya memperbodohkan pengundi. Dengan hanya lima kerusi yang PAS bertanding, apa gelombang yang boleh PAS bawa. Ditambah dengan penegasan oleh Presiden PAS yang beberapa kali menyatakan PAS tidak mahu jawatan, maka isu ini tidak akan dijual oleh PH.
Jika mereka masih menggunakannya, jelas mereka amat dungu dalam berpolitik. Dan isu Najib dibebaskan sekarang sudah menjadi bahan ketawa apabila ditanya orang, bilakah Dato’ Sri Najib akan bebas, BN kan dah menang di Johor?
Dengan beberapa dapatan dari kempen yang sedang berjalan ini, PH dijangka akan menggunakan isu kleptokrat BN yang dahulu. Namun ia akan memakan diri kerana BN masih sebahagian dari Kerajaan Pusat bersama PH.
Ia berbeza dengan serangan oleh calon-calon BN di PRN terhadap Kerajaan Pusat. Walaupun masih bersama, namun hasrat akar umbi Umno sudah kita maklumi yang mereka bencikan PH di mana ada DAP di dalamnya. Jadi serangan itu boleh menjatuhkan PH di Negeri Sembilan.
Kalaulah BN…
Dengan amaran oleh PMX supaya tidak digunakan cara menyerang Kerajaan Pusat kepada sesiapa yang memegang jawatan dalam Kerajaan Pusat, ia jelas menunjukkan ketakutan beliau Negeri Sembilan akan terlepas dari tangan mereka. Ini semua kerana BN. Apabila menerima pelawaan PN dan PAS terutamanya yang tidak pernah jemu mengajak perpaduan, musuh-musuh Melayu Islam menjadi amat takut.
Kalaulah BN mengekalkan strategi begini dengan PAS yang sudah diketahui rakyat Malaysia sebagai sebuah parti yang beramanah, penuh integriti, pastinya nama baik BN juga akan mengharum.
PAS sangat dipercayai melindungi rakan-rakan politiknya atas nama Islam. Sejarah dicoretkan bukan oleh seorang tetapi oleh majoriti cendekiawan yang faham perjuangan sebenar politik berlandaskan Islam.
Pesan Saidina Umar, kita dimuliakan kerana berpegang kepada Islam. Jadi kebalikan dari maksud kata beliau, jika kita memilih selain dari Islam, maka kehinaanlah yang akan menimpa kita. BN sudah melihat sendiri kehinaan yang PH terutamanya DAP lemparkan kepada mereka.
Jom kita kita kembali kepada Islam, kita tidak dihina Allah dan kita juga tidak menghina sesiapa, malah Islam mewajibkan kita menjaga kepentingan semua agama dan bangsa.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 23/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











