
PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan akan terus komited memastikan agenda peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berasaskan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, ia bagi memperkukuh bekalan elektrik hijau yang berdaya saing serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Menurutnya, komitmen itu selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara NETR yang menggariskan hala tuju jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, peralihan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik pada masa kini.
Jelasnya, ia bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global.
“Sehingga Disember 2025, Malaysia telah mencapai sasaran 31 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu yang ditetapkan kerajaan.
“Kerajaan menetapkan sasaran meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 35 peratus pada tahun 2030 dan 70 peratus menjelang tahun 2050.
“Manakala sehingga Jun 2026 jumlah kapasiti terpasang telah menghampiri 32 peratus,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar LSS5 di Kampung Serongga, Mukim Apam, di sini hari ini.
Menurutnya, pelancaran projek itu bukan sekadar pembinaan loji tenaga solar, malah menjadi manifestasi keyakinan pelabur terhadap dasar tenaga negara.
Tambahnya, ia juga simbol kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta dalam membangunkan ekonomi rendah karbon yang lebih mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, projek LSS5 di Pasir Mas melibatkan Samaiden Legasi Timur berkapasiti 99.99 megawatt dan GVU Fajar Timur berkapasiti 27.60 megawatt.
Katanya, projek berkenaan telah melalui beberapa pencapaian penting termasuk penerimaan Letter of Notification daripada Suruhanjaya Tenaga dan pemeteraian perjanjian pajakan tanah bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Selain menurutnya, Perjanjian Jual Beli Tenaga dengan Tenaga Nasional Berhad, kelulusan pembangunan, perolehan peralatan utama serta kejayaan mencapai Financial Close melalui pembiayaan Bank Islam Malaysia Berhad.
“Kesemua pencapaian ini membuktikan kesungguhan dan komitmen semua pihak dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Selain menyumbang kepada bekalan elektrik negara, projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, meningkatkan pembangunan industri sokongan serta memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan secara keseluruhannya,” ujarnya.
Tambahnya, Kelantan mempunyai potensi besar meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu khususnya solar bagi penjanaan elektrik berikutan keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan sektor swasta.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu perlu terus mengutamakan aspek keselamatan, pemeliharaan alam sekitar, tadbir urus yang baik serta hubungan erat dengan komuniti setempat.
“Kerajaan juga menggalakkan pemasangan panel solar di bumbung rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial melalui Program Solar ATAP.
“Saya berharap rakyat Kelantan mengambil peluang ini dengan memperluaskan penggunaan solar bumbung di premis masing-masing demi membina masa depan tenaga negara yang lebih bersih, hijau dan lestari,” katanya lagi.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam pada itu berkata, pelancaran projek itu mencerminkan komitmen serta hubungan kerjasama erat kedua kerajaan.
“Projek ini membuktikan Kelantan mempunyai keupayaan dan daya saing untuk muncul sebagai antara peneraju pembangunan ekonomi baharu yang berteraskan kelestarian, inovasi dan teknologi hijau,” katanya.
Menurutnya, krisis tenaga global ketika ini membuka peluang besar kepada industri tenaga boleh baharu khususnya tenaga solar untuk berkembang lebih pesat dalam sektor industri dan domestik.
Katanya, tenaga solar sebagai sumber tempatan lebih stabil dan kurang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik dunia selain menjadi pelaburan jangka panjang yang berkesan dalam mengawal kos tenaga.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan berimpak tinggi seperti projek ini kerana mampu mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membawa limpahan manfaat berterusan kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu melihat pembangunan yang akhirnya meminggirkan masyarakat tempatan atau menyebabkan mereka menjadi asing di bumi sendiri.
Sebaliknya tegas beliau, setiap pelaburan yang dibawa masuk hendaklah membuka ruang kepada penyertaan rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta mengangkat kesejahteraan negeri secara menyeluruh.
“Melalui projek ini saya yakin lebih banyak peluang akan terbuka kepada syarikat tempatan, usahawan, pembekal perkhidmatan serta tenaga kerja anak Kelantan untuk turut serta dalam rantaian nilai ekonomi sepanjang pelaksanaan projek ini.
“Manfaat pelaburan bukan sahaja dapat dilihat melalui pembangunan infrastruktur bahkan diterjemahkan kepada peningkatan peluang ekonomi, pemindahan kepakaran dan pengukuhan kapasiti rakyat tempatan,” katanya lagi.
Menurutnya, sinergi erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan menjadi asas penting kepada kejayaan sesuatu projek pembangunan serta mampu memperkukuh ekosistem pelaburan di Kelantan.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus komited menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif, telus dan mesra pelabur selaras dengan aspirasi menjadikan Kelantan sebuah negeri berdaya saing dan mampu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.
“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dengan mengutamakan aspek keselamatan, pemeliharaan alam sekitar serta hubungan yang harmoni dengan komuniti setempat.
“Kejayaan Projek Solar Berskala Besar LSS5 ini akan menjadi penanda aras kepada pembangunan tenaga boleh baharu di Kelantan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelaburan berkualiti pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin.
Juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Sr Zamri Ismail dan Pengerusi Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd, Datuk Wira Mohd Anis Hisham Abd Aziz serta Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Group Berhad, Datuk Ir Chow Pui Hee. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











