Kerajaan Pusat, N9 parti sama, tapi isu rakyat tak selesai

Gelombang Biru bukti tekad tawan Negeri Sembilan

- Advertisement -

TAMPIN: Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berharap semangat ditunjukkan rakyat terhadap Gelombang Biru akan membolehkan gabungan PN dan BN mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan daripada PH.

- Advertisement -

Beliau berkata, tekad PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekadar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya memastikan berlaku perubahan kerajaan pada pilihan raya kali ini.

“Semangat kita sudah berbeza. Ia bukan lagi semangat semata-mata untuk kita menang pilihan raya ataupun memberikan kemenangan kepada calon-calon kita.

“Semangat yang ada di kalangan kita semua adalah untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan daripada tangan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam Ceramah Kebangkitan Gelombang Biru di FELDA Bukit Rokan, di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Bahagian Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, serta calon-calon yang bertanding.

Hamzah berkata, walaupun Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH), tetapi pelbagai masalah rakyat masih gagal diselesaikan.

“Kalau masalah yang ada di Negeri Sembilan ini tidak boleh diselesaikan kerana Kerajaan Pusat tidak mahu ambil perhatian, maknanya pimpinan PH langsung tidak boleh diharap. Sebab itu kami mahu mengambil alih dalam pilihan raya kali ini,” tegasnya.

Beliau berkata, PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama rakan kerjasama menawarkan calon yang berpengalaman dan berkeupayaan mentadbir negeri dengan lebih baik.

Menurutnya, kemenangan di Negeri Sembilan bukan sahaja menentukan pembentukan kerajaan negeri, malah menjadi referendum rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita menang, ia merupakan referendum rakyat Negeri Sembilan untuk menjatuhkan juga Kerajaan Pusat itu,” katanya.

Hamzah turut membangkitkan isu kos sara hidup yang menurutnya semakin membebankan rakyat Negeri Sembilan berikutan kedudukan negeri itu berhampiran Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan gagal membantu mengurangkan beban rakyat, selain menyifatkan pembangunan di negeri itu tidak menunjukkan kemajuan yang membanggakan.

Dalam ucapannya, beliau turut memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional Baharu yang disifatkan sebagai asas penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

“Gagasan itu berteraskan tiga agenda utama iaitu matlamat bersama, perkongsian kekayaan negara secara adil dan tatakelola berperikemanusiaan.

“Masalah kita hari ini ialah tidak ada langsung kepercayaan di kalangan kita. Orang Melayu kita nak satukan, orang Cina juga berpecahzbelah. Hari ini kita nak gabungkan semua rakyat supaya kembali bersama,” jelasnya.

Beliau berkata, WAWASAN mahu melihat penyatuan semua kaum di negara ini, termasuk memastikan calon bukan Melayu turut diberi sokongan sebagai lambang perpaduan nasional.

Mengenai agenda perkongsian kekayaan negara, Hamzah berpandangan kemakmuran negara perlu dipertingkatkan terlebih dahulu sebelum hasilnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

“Kita nak kongsi apa kalau negara ini miskin? Yang kita nak kongsi ialah kekayaan negara. Bila kekayaan itu bertambah besar, barulah kita boleh kongsikan kepada semua,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan kerajaan hari ini gagal mengurus ekonomi sehingga kos sara hidup terus meningkat walaupun pelbagai janji telah dibuat.

Menyentuh agenda tatakelola berperikemanusiaan, Hamzah berkata kerajaan yang dibentuk perlu berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Kita akan yakinkan seluruh rakyat, jangan risau, jangan bimbang, jangan takut kerana kita akan berikan keadilan kepada semua,” katanya.

Mengulas hubungan antara parti politik Melayu, Hamzah berkata beliau meninggalkan Umno bukan kerana mengkhianati parti itu, sebaliknya demi usaha menyatukan semula kekuatan politik orang Melayu.

“Tujuan dan matlamat saya hari ini adalah untuk menggabungkan semua ini. Insya Allah ia akan bermula daripada Negeri Sembilan ini,” katanya.

Beliau yakin kerjasama antara pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) mampu membuka lembaran baharu demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Hamzah turut memperkenalkan istilah ‘PBN’ atau Perikatan Barisan Nasional sebagai simbol Gelombang Biru pada pilihan raya kali ini. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -