
KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) melakar satu lagi pencapaian penting apabila berjaya melunaskan sepenuhnya bayaran premium tanah berjumlah RM116.28 juta bagi keseluruhan parsel Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Muara Utara.
Pembayaran premium tanah Borang 5A Kanun Tanah Negara bagi tahun 2025 dan 2026 itu disempurnakan menerusi penyerahan cek kepada Pegawai Kewangan Negeri.
Ia diadakan dalam satu majlis yang turut disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LTAWNT.
Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof berkata, pembayaran tersebut menandakan satu langkah besar dalam usaha memperkukuhkan pegangan aset strategik negeri serta mempercepatkan agenda pembangunan di kawasan KTCC Muara Utara.
“Dengan penyelesaian bayaran premium tanah ini, LTAWNT akan mendapat hak milik tanah seterusnya segala projek fizikal dan perancangan strategik di kawasan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Muara Utara dijangka dapat dilaksanakan secara lancar.
“Ia sekali gus memangkinkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat,” ujar beliau selepas Majlis tersebut.
Beliau berkata, kemampuan melunaskan bayaran premium yang besar itu membuktikan kedudukan kewangan LTAWNT yang stabil hasil pengurusan aliran tunai yang berhemah dan sistematik.
Pada masa sama menurutnya, beberapa pelabur telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk meneroka peluang pembangunan di kawasan berkenaan.
“Namun masih ada lagi ruang untuk para pelabur lain yang berminat untuk turut serta dalam membangunkan kawasan KTCC Muara Utara.
“LTAWNT mengalu-alukan kehadiran para pelabur untuk bersama-sama membangunkan kawasan strategik KTCC Muara Utara serta meneroka pelbagai potensi pelaburan bernilai tinggi yang terdapat di negeri Terengganu,” katanya.
Tambah beliau, LTAWNT akan terus komited memastikan aset milik kerajaan negeri dimanfaatkan secara optimum demi menjana pulangan ekonomi dan manfaat jangka panjang kepada rakyat Terengganu.
“LTAWNT menyokong agenda pembangunan negeri dan memastikan setiap pemilikan aset tanah kerajaan negeri diuruskan dengan teratur demi memberi limpahan manfaat sosioekonomi kepada rakyat Terengganu secara keseluruhannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











