JPINT perkukuh Pendidikan Islam di Terengganu

Melalui Pelan Strategik 2026-2030

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 sebagai panduan memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri agar lebih dinamik, berdaya saing dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, setiap jabatan dan agensi memerlukan pelan strategik yang jelas bagi menentukan hala tuju organisasi serta memastikan setiap matlamat dirancang dapat dicapai dengan berkesan.

- Advertisement -

Menurut beliau, pelan tersebut tidak seharusnya bersifat statik, sebaliknya perlu sentiasa dinilai dan ditambah baik mengikut keperluan semasa serta cabaran yang dihadapi.

“Pelan strategik perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas, dipantau secara berkala dan dinilai berdasarkan impak sebenar kepada pelajar, guru, ibu bapa serta masyarakat.

“Pelaksanaan ini juga menjadi titik berteraskan integriti, ‘responsibility’, profesionalisme dan ehsan selaras dengan aspirasi pentadbiran dinamik dan juga perkhidmatan cemerlang.

“Ini gagasan sebagai panduan untuk membawa Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Dalam konteks perkhidmatan serta pentadbiran, kita perlu sentiasa bersikap dinamik, progresif dan berdaya saing bagi memastikan kita mencapai perkhidmatan yang cemerlang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hafl Wafa Wa Taqdir dan Pelancaran Pelan Strategik JPINT 2026-2030 di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor, dan Timbalan Pesuruhjaya (Pentadbiran, Kewangan dan Pembangunan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Azman Ghani@Hussin.

Mohd Azmi berkata, pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah, akhlak dan jati diri yang kukuh.

Katanya, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang berkembang pesat, institusi pendidikan Islam perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi tanpa mengabaikan nilai serta prinsip syariah.

“Teknologi mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, namun ia tidak akan dapat menggantikan peranan guru sebagai murabbi, pembimbing dan pendidik kepada pelajar.

“AI perlu dilihat sebagai alat yang membantu mempercepatkan urusan serta meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan, bukannya menggantikan peranan manusia sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa warga pendidik dan pentadbir pendidikan Islam supaya terus memperlengkapkan diri dengan kemahiran teknologi serta memahami perkembangan AI bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital.

Dalam pada itu, beliau berharap pelan strategik yang dilancarkan mampu memperkukuh tadbir urus pendidikan Islam, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memperkasakan profesionalisme pendidik.

Katanya, usaha itu penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi ilmu, akhlak dan sahsiah selaras dengan aspirasi negeri untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada warga JPINT yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Menurutnya, budaya menghargai jasa dan sumbangan kakitangan mampu meningkatkan motivasi serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam organisasi.

“Setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil sumbangan kolektif seluruh warga kerja. Pengiktirafan yang diberikan diharap menjadi pendorong untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, keikhlasan dan istiqamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -