
KUALA TERENGGANU: Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) bakal menjadi asas penting kepada kerajaan negeri dalam merangka dasar, polisi dan program intervensi pekerjaan yang lebih berkesan untuk belia dan graduan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti persepsi pencari kerja, khususnya golongan muda, terhadap cabaran yang dihadapi dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, dunia pekerjaan pada masa kini berdepan pelbagai perubahan termasuk pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi sistem dan persaingan bakat yang semakin sengit.
“Selain isu ketidakpadanan kemahiran dan kelayakan, ketidaktentuan geopolitik global serta peningkatan kos sepanjang rantaian bekalan turut memberi kesan kepada pasaran pekerjaan dan industri.
“Keadaan ini memerlukan perancangan yang lebih tersusun bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” katanya pada Majlis Peluncuran Laporan Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ariffin berkata, kerajaan negeri melalui Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dan graduan.
Katanya, antara usaha sedang dijalankan termasuk program latihan juruteknik penerbangan berlesen yang ditawarkan melalui tajaan Yayasan Terengganu dan Yayasan Pendidikan MAIDAM dengan kerjasama Batik Air serta MAB Engineering Services (MABES).
Beliau berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada anak Terengganu menceburi sektor aeroangkasa yang menawarkan prospek kerjaya berpendapatan tinggi.
Dalam sektor tenaga pula, kerajaan negeri bekerjasama dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Universiti College TATI dan TESDEC bagi melahirkan tenaga kerja mahir menerusi projek Hydro Hybrid Floating Solar (HHFS) Kenyir dan Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) Paka.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan latihan, malah pemindahan teknologi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam industri tenaga,” katanya.
Beliau berkata, sektor halal turut diberi perhatian apabila seramai 205 individu berjaya dilatih sebagai juru audit halal profesional hasil kerjasama THRDC, Halal Development Corporation dan Yayasan Peneraju.
Selain itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut melatih graduan sebagai eksekutif halal profesional bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Mengulas trend pekerjaan semasa, Ariffin berkata, semakin ramai anak muda memilih sektor ekonomi gig seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pekerja bebas sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, walaupun sektor itu memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, aspek kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig perlu diberi perhatian.
“Kerajaan menggalakkan pekerja gig mendapatkan perlindungan melalui skim yang disediakan PERKESO dan KWSP.
“Pada masa sama, Akta Pekerja Gig 2025 yang berkuat kuasa mulai 31 Mac lalu akan membantu melindungi hak pekerja gig menerusi kawal selia kontrak, perlindungan sosial serta mekanisme penyelesaian pertikaian,” katanya.
Beliau turut menyeru belia dan graduan supaya membina daya tahan, integriti serta sikap proaktif bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
“Kelulusan akademik sahaja tidak mencukupi. Pekerja perlu sentiasa bersedia menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan bagi memastikan kelangsungan kerjaya pada masa depan,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 4,092 penempatan pekerjaan direkodkan di Terengganu sepanjang tahun lalu berdasarkan maklumat Labour Market Exchange Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). – HARAKAHDAILY 23/7/2026











