Jangan biar wang beli keterangan saksi – Baharuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pindaan ini sangat perlu demi kepentingan keadilan kerana saksi merupakan elemen amat penting dalam perbicaraan sesuatu kes,” kata Senator Baharuddin Ahmad.

- Advertisement -

Jelas beliau, saksi bukan sahaja penting kepada pihak pendakwaan, bahkan menjadi asas utama mahkamah dalam membuat keputusan dan penghakiman.

Menurutnya, keterangan saksi yang jelas serta berwibawa membantu menegakkan keadilan dalam sistem perundangan negara, justeru keberanian seseorang tampil memberi keterangan perlu dihargai.

“Bukan semua orang bersedia untuk menjadi saksi, nak masuk mahkamah pun kadang-kadang kita rasa ragu-ragu, apatah lagi berhadapan dengan pelbagai soalan daripada pendakwa dan pembela serta ancaman pihak penjenayah,” katanya.

Beliau mengemukakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, Parlimen Malaysia, di sini semalam.

Beliau berpandangan Akta Perlindungan Saksi ialah satu pengiktirafan kepada saksi dan mekanisme penting untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Ancaman berbentuk imbuhan dan rasuah

Namun, Baharuddin membangkitkan kebimbangan bahawa ancaman terhadap saksi bukan sekadar melibatkan keselamatan fizikal, malah boleh berlaku melalui tawaran imbuhan.

Katanya, penjenayah dalam kes berprofil tinggi dan jenayah rentas sempadan memiliki rangkaian luas serta sumber kewangan besar yang boleh digunakan untuk mempengaruhi saksi.

Beliau yang mewakili negeri Perlis mempersoalkan sejauh mana Kementerian mengambil kira kemungkinan saksi dijanjikan ganjaran supaya memberikan keterangan meragukan bagi membebaskan penjenayah daripada tuduhan.

“Bagaimana amalan rasuah dan pemberian kepada saksi serta mereka yang terlibat dalam sistem keadilan ini dapat dihindari?” soalnya.

Proses permohonan perlindungan

Baharuddin turut meminta penjelasan mengenai proses kelulusan permohonan seseorang saksi untuk menjadi peserta Program Perlindungan Saksi, termasuk tempoh masa dari awal hingga akhir proses tersebut.

Beliau mahu mengetahui sama ada pemohon yang ditolak boleh mengemukakan permohonan semula atau rayuan, serta nasib saksi sekiranya rayuan itu juga tidak diluluskan.

Katanya, kelewatan dalam proses permohonan boleh mendedahkan saksi kepada ugutan sebelum perlindungan diberikan.

Beliau juga bertanya sama ada kerajaan atau pihak berkuasa boleh memasukkan seorang saksi ke dalam program itu tanpa kerelaannya, khususnya apabila saksi berkenaan dianggap sangat penting dalam sesuatu kes dan berpotensi diugut, disuap atau dipengaruhi untuk memberikan keterangan tidak benar.

Menurutnya, keadaan itu mungkin berlaku apabila pihak pendakwaan melihat kes boleh terjejas atau kalah sekiranya saksi utama memberikan keterangan yang meragukan.

Perlindungan kaunselor dan saksi rentan

Dalam perbahasan itu, beliau turut menyentuh kebajikan saksi daripada golongan rentan, termasuk individu autisme, yang akan disediakan program kaunseling.

Beliau mempersoalkan siapa yang akan bertindak sebagai kaunselor dan sama ada identiti kaunselor berkenaan turut dirahsiakan bagi mengelakkan mereka dikenal pasti serta terdedah kepada ancaman atau tawaran kewangan daripada pihak berkepentingan.

“Adakah kaunselor itu sendiri seolah-olah terlibat dalam Program Perlindungan Saksi?” soalnya.

Baharuddin turut membangkitkan sama ada kaunseling diberikan semasa atau sebelum perbicaraan, khususnya bagi membantu saksi menghadapi soalan di mahkamah.

Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya proses itu tidak mempengaruhi keterangan saksi rentan sehingga kewibawaan keterangannya boleh dipersoalkan dan menjejaskan keputusan mahkamah.

Paksaan menjadi saksi

Selain itu, beliau membangkitkan persoalan mengenai individu yang dipaksa atau dipengaruhi untuk menjadi saksi ketika peringkat siasatan, walaupun belum dibawa ke mahkamah dan tidak bersedia berbuat demikian.

Baharuddin berkata, perkara itu menjadi perbualan di luar sana dan perlu diberi perhatian, terutama apabila pihak yang memaksa mempunyai pengaruh serta kekuatan kewangan.

Sehubungan itu beliau sangat berharap agar sistem perundangan negara terus kekal berwibawa dan diyakini rakyat.

Beliau menyifatkan pindaan tersebut selaras dengan kehendak antarabangsa, termasuk Konvensyen Menentang Jenayah Terancang Rentas Sempadan (UNTOC) dan Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC).

Katanya, kedua-dua instrumen itu mewajibkan negara anggota menyediakan langkah berkesan melindungi saksi daripada tindakan balas dan ancaman.

Beliau berharap pindaan berkenaan akan memperkukuh standard perlindungan, termasuk aspek psikologi, agar sistem keadilan Malaysia setanding piawaian Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), serta negara maju seperti Singapura dan United Kingdom. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -