
KUALA LUMPUR: “Keadilan tidak dapat ditegakkan hanya dengan hakim yang adil dan undang-undang yang baik, tetapi mestilah disokong oleh kesaksian yang benar, berintegriti dan berkredibiliti,” ujar Senator Hussin Ismail.
Menurut beliau, usaha memperkukuh perlindungan saksi amat penting bagi memastikan sistem keadilan negara dapat berfungsi dengan berkesan, namun aspek kualiti dan kredibiliti saksi juga perlu diberi perhatian yang sama.
Hussin memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa yang menyeru orang beriman supaya menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat.
Katanya, ayat tersebut menunjukkan bahawa seseorang saksi mestilah bebas daripada sebarang pengaruh demi memastikan keadilan benar-benar dapat ditegakkan.
Beliau turut mengemukakan pandangan ulama, antaranya Ibnu Qayyim di mana menyatakan keadilan hanya mampu berdiri di atas kesaksian yang benar, manakala Imam al-Nawawi pula menyifatkan kesaksian sebagai amanah sangat besar kerana ia mempunyai implikasi dosa dan pahala di sisi Allah SWT.
Kualiti saksi perlu diberi perhatian
Hussin berkata, dalam Islam seseorang saksi bukan sahaja perlu dilindungi, malah wajib memiliki ciri-ciri tertentu seperti adil, berintegriti, tidak fasik serta mempunyai akhlak yang terpelihara.
Menurut beliau, keempat-empat ciri tersebut penting kerana keputusan mahkamah bergantung kepada kesaksian dikemukakan dan boleh membawa kepada hukuman yang memberi kesan besar termasuk melibatkan nyawa seseorang.
“Bukan sekadar kita melindungi saksi, tetapi kita juga perlu memastikan individu yang menjadi saksi benar-benar mempunyai kredibiliti dan layak memberikan keterangan,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.
Beliau mengingatkan bahawa kerajaan perlu berada di barisan hadapan dalam memastikan saksi diberi perlindungan sewajarnya supaya mereka berani tampil menyatakan kebenaran tanpa rasa takut atau dipengaruhi mana-mana pihak.
Contoh keadilan zaman Saidina Ali
Hussin membawa kisah Khalifah Saidina Ali RA yang pernah gagal dalam tuntutan mendapatkan semula baju besinya kerana tidak dapat mengemukakan saksi mencukupi.
“Walaupun Saidina Ali merupakan pemerintah tertinggi ketika itu, mahkamah tetap menolak tuntutannya atas prinsip keadilan.
“Akhirnya individu Yahudi yang mengambil baju besi tersebut tampil mengaku serta memulangkannya selepas melihat keadilan Islam dilaksanakan tanpa memilih kedudukan atau pangkat,” jelas beliau.
Menurutnya, peristiwa itu membuktikan bahawa kesaksian yang sahih merupakan asas utama dalam menegakkan keadilan.
Pertimbang keupayaan saksi
Hussin mencadangkan supaya kerajaan meneliti aspek keupayaan seseorang saksi, khususnya melibatkan individu yang mempunyai kekurangan dari sudut keupayaan pemikiran.
Beliau menjelaskan, perlindungan kepada golongan kurang upaya dari segi fizikal tidak menjadi isu, namun bagi individu yang mempunyai kekurangan dari sudut penilaian dan keupayaan berfikir, aspek kredibiliti kesaksian perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.
Katanya, perkara itu penting kerana setiap keputusan yang dibuat oleh mahkamah bergantung kepada kesahihan keterangan dikemukakan.
Perlindungan sebelum menjadi saksi rasmi
Hussin berpandangan, perlindungan saksi seharusnya bermula sebelum seseorang itu diisytiharkan sebagai saksi rasmi, terutama dalam kes-kes berprofil tinggi.
Menurut beliau, ancaman terhadap bakal saksi boleh berlaku lebih awal melalui ugutan, tekanan, fitnah, ancaman terhadap keluarga malah ada yang kehilangan nyawa sebelum sempat memberikan keterangan.
Beliau juga menyentuh kes-kes sering diperkatakan masyarakat melibatkan saksi yang didakwa terjatuh dari bangunan, sambil menegaskan beliau tidak menuduh mana-mana pihak tetapi sekadar memberikan contoh tentang risiko mungkin dihadapi saksi.
Katanya, ancaman terhadap saksi bukan sahaja melibatkan kes jenayah biasa, malah turut berlaku dalam kes dadah melibatkan kartel antarabangsa serta kes rasuah yang kadangkala mempunyai kaitan dengan individu berpengaruh.
“Kadang-kadang sebelum sempat menjadi saksi, mereka sudah melarikan diri kerana tidak mampu berhadapan dengan ancaman terhadap diri dan keluarga,” katanya.
Perlindungan jangka panjang dan ancaman siber
Hussin menggesa kerajaan mempertimbangkan perlindungan terhadap ancaman fitnah digital dan jenayah siber yang boleh menjejaskan reputasi saksi serta ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, walaupun sesuatu perbicaraan telah selesai, kesan fitnah terhadap isteri, anak-anak dan keluarga boleh berpanjangan serta sukar dipulihkan.
Menurut Hussin, perlindungan saksi tidak seharusnya berakhir sebaik sahaja sesuatu kes diputuskan, sebaliknya perlu mengambil kira kesan jangka panjang termasuk ancaman dendam, rangkaian jenayah serta keselamatan keluarga saksi.
“Saya menyatakan sokongan terhadap usul ini dan berharap kerajaan terus memperbaiki ekosistem perundangan negara agar mampu memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada saksi demi menegakkan keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











