
KOTA BHARU: Pembubaran pentadbiran ‘de facto‘ HAMAS di Gaza tidak bermaksud berakhirnya perjuangan rakyat Palestin, sebaliknya hanya menandakan perubahan dalam bentuk pentadbiran ketika konflik dan pendudukan masih berterusan.
Mursyid Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, perjuangan Palestin tidak bermula dengan HAMAS dan tidak bergantung kepada organisasi itu semata mata.
“Perjuangan Palestin telah wujud sebelum penubuhan HAMAS. HAMAS hanyalah salah satu fasa penting dalam sejarah panjang penentangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Gaza tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan isu Palestin yang melibatkan pendudukan Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur, hak pelarian untuk kembali ke tanah asal serta pembentukan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat.
Katanya, walaupun HAMAS menyatakan kesediaan menyerahkan urusan pentadbiran awam kepada sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin, perjuangan membebaskan bumi Palestin tetap diteruskan.
“Penyerahan pentadbiran awam tidak semestinya bermaksud pembubaran organisasi, penghapusan ideologi atau penghentian perjuangan. HAMAS bukan sekadar sebuah kerajaan, malah turut berperanan sebagai gerakan dakwah, politik dan perjuangan,” ujarnya.
Tambahnya, pembinaan semula Gaza tidak boleh dijadikan alasan untuk mengubah perjuangan Palestin kepada sekadar projek kemanusiaan atau pembangunan ekonomi.
“Sebuah pentadbiran Palestin yang baharu hanya akan memperoleh kewibawaan apabila rakyat diberikan hak memilih pemerintah mereka sendiri.
“Pemerintahan yang diperkenalkan dari luar tanpa mandat rakyat berisiko menjadi penjagaan antarabangsa dalam wajah baharu,” katanya lagi.
Menurutnya, pelucutan senjata juga bukan penyelesaian mutlak sekiranya pendudukan masih berterusan tanpa jaminan terhadap pengunduran tentera Israel, penamatan sekatan dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat.
“Organisasi boleh berubah, kepimpinan boleh gugur dan strategi boleh disusun semula. Namun selagi tanah terus diduduki, rakyat diusir, pelarian dinafikan hak kembali dan Masjid Al Aqsa diancam, perjuangan itu akan terus menemukan wadah serta generasi baharu,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, Gaza tanpa kerajaan HAMAS mungkin menandakan berakhirnya sebuah pemerintahan, namun ia bukan penamat kepada perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut kemerdekaan, keadilan dan pembebasan tanah air mereka. – HARAKAHDAILY 20/7/2026











