Dulu keluarga Ustaz Fairuz dipinggir kerana perjuangkan PAS

- Advertisement -

SEREMBAN: Latar belakang keluarga yang aktif dalam perjuangan PAS menjadi antara faktor mendorong calon PN daripada PAS bagi DUN N.05 Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa terus berkecimpung dalam politik.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu menjelaskan, beliau dibesarkan dalam keluarga yang keseluruhannya menyertai jemaah PAS, termasuk ibu bapa serta adik-beradiknya.

- Advertisement -

“Alhamdulillah saya dibesarkan dalam keluarga yang semuanya jemaah PAS (walaupun) PAS dulu tidak boleh diterima oleh masyarakat, (di mana) berlaku pertentangan yang amat kuat,” ceritanya kepada HarakahDaily di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini baru-baru ini.

Mohd Fairuz mengimbas kembali situasi masa dahulu di mana masyarakat setempat menjauhi keluarga beliau hanya kerana mereka memperjuangkan PAS.

“Kalau saya duduk di kampung dulu, bila keluarga itu dicop PAS, kadang-kadang kenduri pun tidak dipanggil ataupun kita ajak kenduri orang tidak datang.

“Tetapi alhamdulillah sekarang sudah berubah, masyarakat dapat menerima, bahkan orang yang dahulu bercakap macam-macam kepada PAS, akhirnya boleh bersama-sama hari ini,” ujarnya.

Ustaz Fairuz turut berkongsi, selepas tamat pengajian, beliau memilih untuk terus berkecimpung dalam PAS berbanding menyertai pekerjaan kerajaan kerana mahu membantu perjuangan jemaah.

“Saya habis belajar dulu balik terus berkecimpung dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu sendiri. Saya tidak kerja dengan kerajaan kerana niat untuk membantu jemaah itu sendiri.

“Ada beberapa orang sahabat daripada masa belajar di Jamiah atau Universiti Al-Azhar berpakat untuk menjadikan ataupun mewakafkan diri ini untuk jemaah atau Islam itu sendiri,” ceritanya.

Beliau memberitahu, penglibatannya dalam PAS bermula daripada peringkat Cawangan, Setiausaha Pemuda, Naib Ketua Pemuda sebelum bergerak dalam Kawasan dan seterusnya ke peringkat Negeri.

Ustaz Fairuz menambah, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri ketika masih berusia dalam lingkungan 30-an.

“Pergerakan saya bukan atas diri sendiri, tetapi dibantu oleh mereka yang membantu saya dalam kalangan keluarga, rakan taulan dan mereka yang bersama dalam jemaah,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik.

Pemimpin berusia 50-an ini mempunyai seorang isteri dan lapan anak di mana yang sulung sudah berumah tangga dan dua orang kini melanjutkan pengajian di universiti masing-masing di Mesir dan Malaysia.

“Empat orang lagi masih belajar di peringkat menengah dan sekolah rendah,” maklumnya.

Peluang di DUN Serting

Mengenai kekuatan untuk mewakili rakyat di DUN Serting, beliau berpandangan, penglibatannya bersama masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan dan pengajian agama menjadi antara asas utama.

Beritahu beliau, sepanjang berada dalam masyarakat, beliau pernah mengajar di masjid dan surau sekitar Jempol, Kuala Pilah serta beberapa kawasan lain.

Menurutnya, beliau tidak pernah mempunyai niat atau impian untuk menjadi wakil rakyat, namun menerima amanah apabila diberikan kepercayaan oleh parti.

“Saya secara peribadi tidak ada langsung niat untuk menjadi wakil rakyat ataupun tidak ada langsung impian untuk menjadi YB (Yang Berhormat).

“Namun benda yang kita tidak tahu, Allah sudah rancang ke hadapan sehingga saya diamanahkan untuk bertanding,” ujarnya merendah diri.

Beliau pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di DUN Jeram Padang, Jempol, sebagai usaha PAS memperkenalkan kehadiran parti itu di kawasan berkenaan.

Pada PRU15 beliau diberikan amanah bertanding pula di DUN Serting dan berjaya memenangi kerusi itu sekali gus memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan itu.

“Untuk PRN kali yang ke-16 ini, kali ketigalah saya dicalonkan dan masih lagi penyandang kepada DUN Serting,” ceritanya.

Sementara itu, Mohd Fairuz mengakui, sokongan keluarga menjadi kekuatan utama dalam meneruskan perjuangan politiknya.

“Pertama saya nak sebutkan, itu adalah dorongan daripada ibu bapa. Mak ayah, mak abah saya masih hidup dan masih diberikan kekuatan oleh Allah. Mereka orang pertama memberi rangsangan untuk saya meneruskan gerak kerja ini.

“Lepas itu isteri, anak-anak, adik-beradik, sahabat-sahabat, rakan taulan dan ahli jemaah di Jempol sendiri. Kalau tiada mereka siapalah saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2026

- Advertisement -