‘BN-PN hanya di PRN N9, kenapa PH di Putrajaya gelisah?’

Kerjasama setakat ini hanya terhad kepada ‘persefahaman’ PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Angkatan Muda Harapan (AMH) mendesak semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet disifatkan sebagai satu langkah yang janggal serta keterlaluan.

Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pihak PH tidak sepatutnya berasa gelisah atau cuba mencampuri urusan dalaman serta pendirian politik parti komponen lain, memandangkan kerjasama antara PN dan BN pada waktu ini hanya terhad di peringkat negeri.

Ahli Parlimen Bachok itu turut mempersoalkan mengapa desakan sedemikian tidak dibangkitkan oleh sayap pemuda gabungan berkenaan ketika berlakunya pertembungan sengit antara BN dan PH dalam pilihan raya sebelum ini.

“Desakan Pemuda PH kali ini agak janggal dan keterlaluan. Mengapa PH begitu gelisah di Putrajaya sedangkan kerjasama PN-BN setakat ini hanya terhad kepada ‘persefahaman’ PRN Negeri Sembilan?

“⁠Mengapa ketika BN-PH bertembung di 56 kerusi dalam PRN Johor, desakan ini tidak timbul? PH tidak wajar mencampuri, apatah lagi cuba menentukan pendirian politik Umno-BN, yang merupakan sekutu terkuat dalam Kerajaan Madani,” katanya.

Mohd Syahir menegaskan, sekiranya AMH mahu membuat tuntutan sedemikian, desakan itu sepatutnya bermula daripada barisan kepimpinan mereka sendiri yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri melibatkan perkongsian kuasa.

“Sepatutnya Pemuda PH mendesak EXCO PH di Perak dan Pahang meletakkan jawatan terlebih dahulu. Tindakan DAP Melaka wajar dijadikan contoh,” katanya.

Mengulas mengenai asas pembentukan kerjasama politik berkenaan, beliau menjelaskan bahawa persefahaman tersebut dibentuk demi kemaslahatan pengundi selain menjadi medium untuk menilai penerimaan formula politik baharu oleh ahli di peringkat akar umbi.

“Persefahaman PN-BN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah dan menawarkan alternatif kepada kegagalan pentadbiran PH.

“Adapun sebarang bentuk kerjasama PN-BN pasca PRN Negeri Sembilan masih bersifat ‘ujian formula’. Semua pihak masih berhati-hati, termasuk mengambil kira pandangan akar umbi. Reaksi MCA menunjukkan bahawa rasa sangsi terhadap kerjasama ini masih wujud,” jelas beliau.

Beliau turut membidas keyakinan Pakatan Harapan (PH) terhadap kestabilan politik pentadbiran persekutuan sedia ada yang dilihat semakin rapuh di mata masyarakat.

“Atau mungkin Pemuda PH sendiri sudah tidak lagi yakin dengan kekuatan Kerajaan Madani, walaupun dahulu mendabik dada, ‘Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri’.

“Hakikatnya, di mata rakyat, khususnya umat Melayu di negara ini, PMX dan PH sedang menghitung hari,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

AMH mendakwa tindakan BN menjalinkan kerjasama secara terbuka dengan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mencerminkan kegagalan parti itu menghargai kepercayaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketegangan semakin memuncak apabila AMH mengkritik kenyataan Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi reaksi terhadap ‘persefahaman’ terkini dua komponen tersebut.

Beliau menyifatkan sokongan pengundi kepada calon BN dan PN sebagai medan untuk menguji formula kerjasama yang berpotensi diperluaskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagi AMH, tindakan tersebut membuktikan BN lebih mengutamakan percaturan politik jangka pendek dan bersedia ke arah pembentukan jajaran baharu.

Sekali gus mereka menuntut melepaskan jawatan dalam Kabinet bagi mengelakkan percanggahan dengan mandat kerajaan sedia ada. – HARAKAHDAILY 19/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -