
KUALA TERENGGANU: Terengganu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM399.8 juta bagi suku pertama tahun ini melibatkan tujuh projek yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memberitahu demikian di Wisma Darul Iman, di sini.
Menurutnya, pelaburan tempatan menyumbang RM348.4 juta atau 87.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan asing berjumlah RM51.5 juta atau 12.9 peratus.
Kata beliau, sektor perkhidmatan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM336.4 juta melibatkan empat projek, manakala sektor perkilangan merekodkan pelaburan RM63.4 juta menerusi tiga projek.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak tujuh projek pelaburan diluluskan dengan nilai keseluruhan RM399.84 juta dan dijangka mewujudkan 254 peluang pekerjaan.
“Daripada jumlah itu, sektor perkhidmatan menyediakan 78 peluang pekerjaan, manakala sektor perkilangan mewujudkan 176 peluang pekerjaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) mengenai nilai pelaburan yang telah direkodkan sehingga suku kedua tahun ini serta pelaburan masih dalam pertimbangan untuk dimasukkan dalam jumlah pelaburan tahun semasa.
Menurut Nurkhuzaini, subsektor utiliti menjadi penyumbang utama dalam sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan RM286.78 juta, selain projek hotel dan pelancongan bernilai RM27.8 juta.
Dalam sektor perkilangan pula, projek produk fabrikasi logam menerima pelaburan asing sebanyak RM51.48 juta dan dijangka menyediakan 125 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, projek yang diluluskan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan pelaburan RM91.2 juta melibatkan empat projek.
Antara projek berkenaan ialah pembinaan struktur keluli oleh Guanglei Steel Structure Engineering Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Telok Kalong dan projek kayu gergaji oleh Leung Huat Timber Industries (M) Sdn Bhd di Wakaf Tapai.
Juga projek pengeluaran ais tiub oleh Atlas Edible Ice (Pahang) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Jakar III serta projek hotel Aqua Villa Perhentian di Pulau Perhentian.
Sementara itu, Nurkhuzaini juga berkata, terdapat sembilan cadangan projek pelaburan yang masih dalam pertimbangan melibatkan sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui, logistik dan hospitaliti.
Katanya, antara projek tersebut ialah tiga projek jana kuasa hidro kecil, projek Regassification Gas Terminal Kemaman LNG dan projek Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) 2.0.
Selain pembangunan infrastruktur di KSB, pembangunan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa di Muara Utara KTCC serta pembesaran KMI Kuala Terengganu dan KMI Kuantan. – *HARAKAHDAILY 13/7/2026*











