
KUALA TERENGGANU: Program Residensi Rakyat (PRR) Kampung Jeram dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading kini berada pada peringkat akhir penyelesaian urusan tanah sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses pendaftaran hak milik tanah kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sedang dilaksanakan dan dijangka selesai bulan ini.
Katanya, selepas urusan pendaftaran hak milik selesai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan pelaksanaan projek termasuk proses perolehan dan pembinaan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan KPKT dan PMINT bagi memastikan semua urusan berkaitan dapat diselesaikan segera supaya projek ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan demi menyediakan kediaman selesa dan mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Wan Sukairi berkata, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri telah menjelaskan bayaran premium tanah berjumlah RM324,272 kepada Pejabat Tanah Kuala Terengganu bagi melengkapkan urusan berkaitan tapak projek.
Menurutnya, berdasarkan perancangan semasa, kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada September 2026 sebaik sahaja semua urusan pemilikan tanah selesai.
Beliau berkata, projek bernilai RM42.9 juta itu membabitkan pembinaan 150 unit rumah pangsa berkeluasan 750 kaki persegi setiap satu.
“Selain unit kediaman, projek ini turut merangkumi pembinaan dewan komuniti, kedai dan gerai serta kemudahan landskap dan kawasan lapang.
“Harga jualan yang ditetapkan bagi setiap unit rumah ialah RM60,000,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











