Negara tua 2030: Terengganu kukuh persediaan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan dan perlindungan sosial sebagai persediaan menghadapi peningkatan bilangan warga emas apabila Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, perubahan struktur penduduk itu memerlukan perancangan lebih menyeluruh bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas sentiasa terpelihara.

Menurut beliau, antara langkah yang telah dilaksanakan kerajaan negeri di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 ialah Bantuan Pencen Rakyat Terengganu, pengukuhan sistem kebajikan menerusi projek TEGANU CARE serta pelaksanaan konsep negeri berkebajikan.

“Inisiatif-inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Maliaman berkata, kerajaan negeri turut melihat keperluan memperluaskan Program Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi membolehkan lebih ramai warga emas menjalani kehidupan aktif dan berinteraksi dengan komuniti setempat.

Katanya, ketika ini terdapat lapan PAWE di Terengganu yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di setiap daerah dengan menerima geran tahunan sebanyak RM50,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

“Peluasan ini penting bagi memastikan warga emas yang sihat dan kekal aktif menjalankan aktiviti bersama warga emas yang lain di PAWE.

“Lokasi PAWE sedia ada tidak dapat dicapai sepenuhnya oleh warga emas memandangkan faktor jarak yang jauh dari lokasi sedia ada.,” ujarnya.

Beliau berkata, Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga wajar diperkasakan menerusi penambahan peruntukan, latihan kepada sukarelawan serta kerjasama lebih erat dengan NGO, agensi kesihatan dan sektor swasta.

Menurut beliau, program itu memberi tumpuan kepada warga emas yang tinggal bersendirian, daif atau kurang berkemampuan.

“Di Terengganu, seramai 176 petugas KBDR sedang menyantuni 644 warga emas di seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kapasiti institusi penjagaan warga emas juga perlu ditambah bagi menampung keperluan yang semakin meningkat pada masa hadapan.

Katanya, Rumah Ehsan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan pesakit terlantar daif dan tidak berwaris termasuk warga emas ketika ini hanya mampu menampung 100 penghuni.

“Pada masa sama, kos pusat jagaan swasta yang tinggi menyebabkan sebahagian warga emas yang memerlukan perlindungan dan penjagaan tidak mampu mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

“Kerajaan negeri juga boleh mengambil inisiatif untuk menambah institusi penjagaan warga emas,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -