
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus memperkukuhkan usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat yang semakin meningkat di negeri ini.
Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara langkah yang diambil termasuk menambah baik Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) serta memperluaskan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri itu menjelaskan, pelaksanaan dasar secara penswastaan itu diyakini mampu meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan mempercepatkan pelaksanaan projek di seluruh Terengganu.
“Kerajaan negeri juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kerjasama ini melibatkan sokongan kewangan, kepakaran teknikal dan pelaksanaan projek pembangunan secara bersama bagi menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti, selesa dan berdaya huni untuk rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Hafiz Adam (PAS-Air Putih) mengenai usaha kerajaan negeri menangani isu permintaan tinggi rumah mampu milik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan agensi pelaksana seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi memperluaskan pelaksanaan projek perumahan rakyat dan menambah bilangan unit rumah mampu milik untuk golongan sasar.
Mengulas cadangan beberapa lokasi di DUN Air Putih bagi pembinaan rumah mampu milik, beliau berkata, semakan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Perumahan) mendapati pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan rasmi berhubung perkara itu.
“Bagaimanapun, sekiranya pihak DUN Air Putih mempunyai cadangan tapak yang bersesuaian, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan tersebut untuk dikemukakan kepada Bahagian Perumahan bagi tujuan penelitian dan penilaian kesesuaian tapak sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
Untuk rekod, antara projek perumahan yang telah siap dilaksanakan di DUN Air Putih sejak 2018 hingga tahun ini ialah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi.
Selain itu, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Air Putih yang dilaksanakan oleh KKDW dan melibatkan pembinaan 200 unit rumah kini sedang dalam pembinaan. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











