PAS Sepanggar terima usul tanding parlimen PRU16

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sepanggar kali ke-16 menerima sebulat suara usul agar PAS bertanding kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Usul tersebut dibentangkan oleh Perwakilan Dewan Pemuda PAS kawasan, Mohd Faizal Kambah, ketika sesi pembentangan usul pada mesyuarat agung yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Karambunai, semalam. (Foto atas)

Menurutnya, cadangan itu dibuat susulan kejayaan PAS Sabah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.

Ini, ujarnya sekali gus membuktikan penerimaan rakyat terhadap perjuangan PAS Sabah melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

“Momentum kemenangan ini perlu diteruskan dengan memperluaskan penguasaan PN-PAS ke peringkat Parlimen melalui pertandingan di kerusi P171 Sepanggar pada PRU16,” katanya.

Menyokong usul tersebut, perwakilan Dewan Ulamak PAS kawasan, Nazirul Hamed berkata kemenangan PN-PAS di DUN Karambunai telah menyerlahkan kepimpinan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan sebagai tokoh yang berwibawa untuk diketengahkan ke peringkat Parlimen.

“Oleh itu, bagi menyokong usul yang dibentangkan oleh perwakilan Dewan Pemuda sebentar tadi, sekiranya PAS Sepanggar berhasrat untuk bertanding kerusi P.171 Sepanggar, maka calon yang paling sesuai ialah Datuk Dr. Aliakbar Gulasan selaku Pengerusi Perikatan Nasional Sabah.

“Selain itu, kita juga perlu menjadi mata rantai yang menghubungkan usaha memperkukuhkan penguasaan di dua lagi kerusi DUN iaitu DUN Darau dan DUN Inanam.

“Kita yakin beliau wajar diketengahkan sebagai calon Parlimen pada pilihan raya akan datang,” katanya pada mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan itu.

Justeru, tegas beliau Dewan Ulamak menyokong sepenuhnya usul yang dikemukakan oleh perwakilan Dewan Pemuda mengenai perkara itu. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -